KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Pendekatan Siasatan Berasaskan Risikan atau Intelligence Based Investigations (IBI) kini menjadi teras strategi penguatkuasaan antirasuah moden oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah kepimpinan Tan Sri Azam Baki.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM Hisyam Mohd Yusoff berkata pendekatan proaktif itu membolehkan agensi itu mengesan jenayah sebelum laporan rasmi dibuat dengan memanfaatkan analitik kewangan serta teknologi terkini untuk mengumpul bukti serta menjejaki aliran dana haram.
"Azam secara konsisten mempromosikan IBI sebagai 'wajah baharu' SPRM bagi meningkatkan keyakinan rakyat serta memperkukuh kecekapan operasi agensi, yang turut dikreditkan sebagai antara faktor membantu SPRM mencapai kadar sabitan sehingga 95 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata antara kejayaan utama IBI ialah Ops Setting melibatkan sindiket caturan kaunter atau counter setting di lapangan terbang yang menyaksikan pemantauan risikan selama enam bulan dilakukan menggunakan teknologi analisis maklumat.
Hisyam berkata operasi itu membawa kepada penahanan puluhan pegawai penguat kuasa selain penyitaan dan pembekuan barangan bernilai lebih RM9 juta termasuk emas, kenderaan mewah, wang tunai dan akaun bank tanpa perlu menunggu laporan.
Selain itu, beliau berkata SPRM berjaya memulihkan aset berjumlah RM15.5 bilion menerusi operasi berprofil tinggi bagi tempoh 2021 hingga awal 2026 dalam usaha membanteras aktiviti pengubahan wang haram dan ekonomi gelap.
Katanya perisikan kewangan digunakan untuk melakukan pengesanan jejak kewangan bagi mengenal pasti pemilik benefisial sebenar di sebalik aset yang disembunyikan, sekali gus memulihkan kekayaan negara yang dicuri dan diselewengkan.
Antara pencapaian lain termasuk pemulihan 70 peratus atau RM31 bilion aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini menjadi penanda aras di peringkat dunia.
Dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula, beliau berkata operasi SPRM membawa kepada rampasan RM170 juta dalam bentuk mata wang asing serta jongkong emas.
Hisyam berkata di bawah teraju Azam, SPRM turut melancarkan operasi membanteras sindiket ‘manipulasi korporat’ melalui Ops Sky melibatkan pegawai bank dan perunding kewangan yang meluluskan pinjaman peribadi secara haram terutama kepada penjawat awam.
Selain itu, Ops Sohor yang dilancarkan pada 14 Okt 2025 berjaya membanteras kegiatan pegawai perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada sindiket penyeludupan membabitkan rasuah RM3 juta.
Beliau turut menyifatkan siasatan kes Aman Palestin bagi tempoh 2023 hingga 2024 sebagai antara kes penyelewengan dana kemanusiaan terbesar negara membabitkan anggaran RM39.5 juta.
Katanya kepimpinan tertinggi pertubuhan itu kini berdepan 164 pertuduhan termasuk pecah amanah dan pengubahan wang haram susulan dakwaan menyalahgunakan dana bantuan Palestin untuk pelaburan peribadi serta pembelian aset termasuk tanah, bangunan dan jongkong emas.
Di peringkat global, beliau berkata Azam dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Pihak Berkuasa Antirasuah Antarabangsa (IAACA) bagi penggal 2025-2027.
Beliau juga dilantik semula sebagai Ahli Lembaga Gabenor Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) bagi penggal 2024-2027 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam memperkukuh kerjasama global memerangi rasuah.
Azam yang menyertai agensi itu pada 1984 bakal menamatkan perkhidmatannya esok selepas 42 tahun berkhidmat.
Pada 25 April lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, berkuat kuasa 13 Mei.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah