Bahasa : BM | EN

Meninggal Sendirian: Cerminan "Kesunyian" Masyarakat Moden

08/06/2026 09:06 AM
By :
Muhammad Basir Roslan

Jasadnya ditemukan orang ramai di tepi sebuah bangunan di ibu negara. Berstatus gelandangan, lelaki tempatan warga emas ini meninggal dunia bersendirian.

Lebih memilukan, jenazahnya tersimpan di bilik mayat hospital hampir seminggu sementara menunggu pihak berkuasa mengesan dan menghubungi waris. Namun panggilan demi panggilan dilakukan, tidak ada satu pun bersambut.

Akhirnya, jenazah arwah diserahkan kepada Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) untuk dikebumikan.

“Kami dimaklumkan pihak hospital dapat hubungi anak saudara arwah yang tinggal di Melaka, namun malangnya lelaki itu memberitahu yang dia tidak mampu untuk menuntut jenazah tersebut kerana kesempitan hidup. Dia minta pihak hospital bantu dan di sinilah peranan kami bermula,” kongsi pengasas SPJM Muhammad Rafieudin Zainal Rasid kepada Bernama.

Menegaskan yang beliau tidak berniat membuka aib sesiapa, Muhammad Rafieudin berkata kes itu antara kira-kira 30 jenazah tidak dituntut yang diuruskan SPJM saban tahun. Dan sekalipun sebahagian besarnya melibatkan mereka yang tidak berwaris atau tanpa identiti, bilangan jenazah yang “diserahkan” oleh keluarga juga kian meningkat.  

“Hal ini mungkin disebabkan oleh hubungan kekeluargaan yang renggang. Warisnya mungkin ada, tapi sengaja tidak mahu atau tidak mampu datang (untuk menguruskan jenazah terbabit),” jelasnya.

 

KEPERLUAN NYATA

SPJM antara beberapa pertubuhan di negara ini yang mengambil tanggungjawab menguruskan jenazah tidak dituntut melibatkan orang Islam dan bukan Islam.

“Kami lakukan ini atas keperluan fardu kifayah,” jelas Muhammad Rafieudin ketika ditanya oleh Bernama.


Their main mission is to ensure that every Muslim body is handled with dignity, in addition to helping non-Muslim families in need by providing logistical support such as hearses and coffins. Pix credit SPJM facebook page.

Mengimbau penubuhan skuad itu pada 2017, beliau yang telah lebih 20 tahun terlibat dalam pengurusan jenazah, berkata di peringkat awal beliau bergerak secara solo selepas melihat semakin banyak kes jenazah tidak dituntut di hospital.

“Bila kita lihat keperluan di lapangan makin bertambah, kita mula kumpulkan sukarelawan dan tubuhkan skuad ini pada 2017 bagi membantu meringankan beban pihak berwajib dan kerajaan,” katanya sambil menambah jumlah terkini ahli berdaftar SPJM mencecah 2,000 orang di seluruh negara.

Misi utama mereka ialah memastikan setiap jenazah orang Islam diuruskan secara bermaruah dan beretika menurut syarak. Pada masa sama, mereka turut membantu keluarga bukan Islam yang memerlukan melalui penyediaan sokongan logistik seperti van jenazah dan keranda, selain menjadi penghubung bagi memastikan urusan terakhir si mati dapat dilaksanakan dengan lancar.

Beliau berkata SPJM  turut membantu golongan tidak berkemampuan menguruskan jenazah tanpa mengenakan sebarang kos terhadap waris.

 

TEMPOH DAN PROSEDUR

Berkongsi lanjut, Muhammad Rafieudin berkata mereka akan dihubungi oleh pihak berwajib bagi menguruskan jenazah tidak dituntut selepas semua usaha yang diambil untuk mengesan waris gagal membuahkan hasil.

“Kalau kes biasa, iaitu jenazah dituntut waris, urusan dokumentasi dan lain-lain hanya mengambil masa beberapa jam selepas kematian disahkan dan pengebumian (orang Islam) akan dilakukan pada hari sama. Akan tetapi, untuk jenazah tidak dituntut, keadaannya berbeza.


Muhammad Rafieudin Zainal Rasid

“Bagi kes jenazah yang mempunyai identiti tetapi tidak dituntut waris, proses biasanya mengambil masa antara 24 hingga 72 jam sementara usaha mengesan ahli keluarga dijalankan oleh pihak hospital, polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Ada kalanya boleh mengambil masa lebih lama,” ujarnya.

Bagaimanapun menurut beliau, bagi jenazah tidak dikenali termasuk warga asing tanpa dokumen sah, proses menjadi lebih kompleks dan mengambil masa lebih lama dengan ada yang tersimpan di bilik mayat selama berbulan-bulan kalaupun tidak bertahun.

“Banyak perkara yang perlu disahkan sebelum jenazah diserahkan kepada kami, antaranya menentukan agama si mati. Kesemua ini dilakukan oleh pihak berkuasa,” jelasnya.

Beliau berkata sejak penubuhannya, SPJM telah menguruskan lebih 300  jenazah tidak dituntut, melibatkan waris enggan tampil menuntut, individu tanpa waris serta jenazah tidak dikenal pasti.

Berkongsi pandangan, Muhammad Rafieudin berharap pihak berkuasa dapat mewujudkan garis panduan kebangsaan berkenaan pengurusan jenazah tidak dituntut agar lebih tersusun, selain menyediakan sokongan logistik dan kewangan yang lebih sistematik.

“Lebih penting lagi, kami harap masyarakat dapat membuka mata bahawa isu ini bukan beban yang harus dipikul oleh satu pihak, sebaliknya tanggungjawab kita bersama. Kalau rakyat biasa seperti kita tidak cakna, siapa lagi yang boleh diharapkan?,” soalnya menutup bicara.

 

MAKIN MAJU, MASYARAKAT KITA MAKIN “MUNDUR”?

Sementara itu, mengulas peningkatan kes individu yang tinggal bersendirian meninggal dunia tanpa disedari dan hanya ditemukan selepas beberapa hari atau minggu, pakar sains sosial Dr Mimi Hanida Abdul Mutalib berkata situasi tersebut berlaku antaranya disebabkan oleh kelonggaran hubungan kekeluargaan.

“Dulu, institusi keluarga menjadi teras sokongan emosi dan sosial dengan hubungan yang erat serta saling mengambil tahu. Namun kini semakin banyak yang hidup bersendirian, terpisah daripada keluarga atas pelbagai faktor termasuk penghijrahan dari desa ke bandar bagi meneruskan kehidupan.


For cases of bodies that have identities but are not claimed by heirs, the process usually takes between 24 to 72 hours while efforts to trace family members are carried out by the hospital, police and the Social Welfare Department. Pix credit SPJM.

“Dalam keadaan tertentu, ada yang terputus hubungan akibat konflik, tekanan ekonomi atau kegagalan memenuhi harapan keluarga, lalu memilih untuk menyisihkan diri,” kata pensyarah Program Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia itu ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata perubahan itu juga dipengaruhi kemajuan teknologi dan sistem moden yang secara tidak langsung mengambil alih fungsi tradisional keluarga.

“Jika dahulu, seseorang bergantung pada saudara-mara untuk mendapatkan maklumat, bantuan atau sokongan. Kini, banyak urusan boleh diselesaikan secara individu selagi dia mempunyai sumber kewangan dan akses digital.

“Dalam zaman kecerdasan buatan ini, masyarakat menjadi semakin berdikari, namun pada masa sama jaringan kebergantungan sosial semakin menipis. Apabila sesuatu krisis berlaku, tidak lagi wujud lingkaran terdekat yang segera menyedari ketiadaan mereka,” jelas beliau.

Tambahnya, di peringkat komuniti pula, budaya kejiranan juga semakin menipis, khususnya di kawasan bandar di mana gaya hidup yang sibuk serta kebimbangan dilabel “menjaga tepi kain orang” menyebabkan interaksi asas antara jiran menjadi minimum, membuatkan seseorang itu  hidup bersendirian dalam tempoh lama tanpa benar-benar dikenali oleh persekitarannya.

Pakar itu turut menyanggah persepsi isu meninggal dunia bersendirian dan jenazah tidak dituntut ini hanya melibatkan golongan miskin dan pertengahan. Sebaliknya kata beliau, perkara tersebut turut berlaku dalam kalangan orang kaya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan sekiranya trend itu berterusan masyarakat mungkin tidak lagi merasakan masalah tersebut satu isu besar dan institusi keluarga terus merapuh.

“Malaysia mungkin belum berdepan krisis seperti fenomena ‘kodokushi’ di Jepun dengan ramai rakyatnya tidak berkahwin atau tidak mempunyai anak akibat faktor kos sara hidup kian meruncing, namun peningkatan kes meninggal dunia bersendirian tanpa disedari orang sekeliling wajar dilihat sebagai isyarat awal.

“Dalam sistem masyarakat yang semakin kompleks, pembangunan fizikal dan dasar ekonomi perlu disertai usaha mengukuhkan kembali nilai kebersamaan (masyarakat) kerana, tanpa jaringan sosial yang kukuh seseorang boleh hilang dalam diam dan hanya ditemukan setelah segalanya terlambat,” ujarnya.

 

KESUNYIAN KRONIK LUKA TIDAK KELIHATAN

Daripada aspek psikologi pula, pensyarah kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia  Dr Nurhafizah Mohd Sukor berkata kematian dalam cara begitu sering berkait rapat dengan pengalaman emosi yang dipendam oleh individu berkenaan sehingga ke akhir hayatnya.

“Ada individu yang menjauhkan diri kerana menyimpan rasa bersalah, murung, gelisah atau tidak mahu menyusahkan orang lain. Hubungan keluarga yang renggang serta komunikasi hambar membuatkan mereka memilih untuk memendam rasa sedih secara bersendirian. Lama-kelamaan, pengasingan ini menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi cara hidup,” jelas beliau. 


Sekalipun ada yang hidup bersendirian kerana mahukan ketenangan dan lingkungan sosial yang kecil, beliau berkata bagi mereka yang berasa terasing atau tidak diperlukan, isolasi sosial sebegini boleh mengganggu kemampuan berfikir secara jelas, melemahkan kawalan emosi dan menurunkan motivasi untuk mengurus diri dan tanggungjawab harian. 

Beliau berkata dalam kes ekstrem, keadaan itu membawa kepada apa yang dikenali sebagai self-neglect atau suatu pengabaian terhadap penjagaan diri, kebersihan, pemakanan dan kesihatan. Individu yang memendam perasaan negatif dalam jangka panjang berisiko mengalami kemurungan dan terus menjauhkan diri daripada orang sekeliling. Perlahan-lahan, pengasingan ini berlaku tanpa disedari sehingga menjejaskan kesejahteraan mereka secara menyeluruh.

"Tanda-tanda awal isolasi serius sering tersembunyi di sebalik kehidupan harian yang kelihatan normal. Secara emosi, mereka mungkin mengelak daripada berkongsi perasaan sebenar, sering memberi jawapan ‘Saya okey’, atau menjauhkan diri daripada perbualan mendalam walaupun dengan ahli keluarga atau rakan rapat. 

"Dari segi sosial, mereka sengaja lambat atau tidak membalas mesej ahli keluarga, menolak jemputan atau menunjukkan kurang minat terhadap persekitaran sosial baharu. Secara fizikal pula, mereka banyak menghabiskan masa bersendirian di rumah, mengalami gangguan tidur dan selera makan atau mudah lesu. Kelakuan ini cukup mudah disalah tafsir sebagai normal atau sekadar privasi, tetapi jika berpanjangan boleh menjadi petanda masalah psikologi serius," jelasnya lagi.

 

PERANAN MASYARAKAT

Pun begitu kata Norhafizah,  ahli masyarakat masih boleh memainkan peranan mereka tanpa mengganggu privasi individu tersebut.

Nasihatnya, sikap peduli akan orang sekeliling boleh bermula dengan cakna perubahan tingkah laku jiran dan kenalan rapat, menyimpan nombor telefon perkhidmatan sokongan sosial serta menyalurkan maklumat kepada pihak berwajib seperti JKM, institusi keagamaan, klinik kesihatan atau badan bukan kerajaan. 

"Dalam hal ini, aktiviti seperti ziarah-menziarah jiran tetangga perlu diadakan secara lebih kerap. Penyediaan perkhidmatan emosi dan spiritual atau usaha mengenal pasti individu yang bersendirian dalam komuniti sebenarnya dapat mengurangkan risiko isolasi yang berpanjangan.

“Oleh sebab itu, sokongan masyarakat yang berempati dan ambil peduli akan keadaan sekeliling amat diperlukan demi memastikan individu yang hidup bersendirian tidak benar-benar tenggelam dalam kesunyian sehingga nyawa mereka berakhir,” tegasnya.

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami