ALOR SETAR, 25 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menggembleng semua sumber di bawahnya untuk memperkasakan kawalan sempadan di darat serta perairan negara daripada sebarang ancaman jenayah rentas sempadan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Marin (PGM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kerajaan bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan perairan dan darat negara, antaranya Langkawi yang mempunyai beberapa kawasan panas yang menjadi laluan bagi penyeludupan dan pendaratan warga asing.
“Kita mempunyai kelengkapan yang membantu penugasan, termasuk radar pengesanan yang menjadi mata dan telinga kita. Kalau ada corak pergerakan mencurigakan dan sudah disahkan, kita akan mengerahkan aset-aset yang ada bagi menjaga keselamatan Langkawi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau meninjau operasi di sempadan utara negara, melibatkan Teluk Ewa dan Pelabuhan Telaga Harbour di Langkawi, selama dua hari bermula semalam, bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi serta memperkukuh penguatkuasaan dalam membanteras aktiviti ketirisan dan penyeludupan barangan kawalan.
Saifuddin Nasution berkata beliau telah turun sendiri untuk melihat dan memberi sokongan moral kepada anggota yang menjaga pos kawalan di sempadan yang ditempatkan semula pada Januari lepas, hasil daripada keputusan Jawatankuasa Sempadan yang dipengerusikan olehnya sebelum ini.
“Komitmen kita adalah untuk bertindak sedaya upaya, sebab itu kita akan guna semua sumber di bawah KDN dan setengah kawasan negara kita turut babitkan tentera. Hanya dengan mengembleng semua sumber dan aset ini baru dapat jalankan tugasan dengan berkesan,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata bagi mengatasi sebarang ketirisan, kebocoran dan penyeludupan yang melibatkan minyak diesel dan petrol, KDN memainkan peranan penting dalam mengawasi sempadan negara.
“Sekarang kita sedang laksanakan Ops Tiris, akibat krisis Asia Barat, ia beri kesan kepada bekalan dan harga. Kerajaan beri jaminan bekalan akan cuba diusahakan bagi memastikan ia cukup manakala harga pula dikekalkan dengan menggunakan pendekatan sekarang iaitu subsidi.
“Polis telah diarahkan untuk membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengawasi stesen-stesen minyak berdekatan sempadan negara. Terdapat kira-kira 170 stesen dan daripada jumlah itu 91 stesen menunjukkan kadar jualan tinggi,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata sejak dibantu anggota polis bermula 13 hingga 21 April, data terkumpul menunjukkan penurunan kepada jualan RON95 yang susut sebanyak 20 peratus, manakala RON97 meningkat, dan ia sekali gus membuktikan strategi yang diatur berkesan.
“Sebanyak 20 peratus itu boleh diunjurkan turut berlaku kebocoran yang berlaku oleh pihak tidak bertanggungjawab. Di Kedah sehingga 22 April, kita merekodkan 58 kes keseluruhan Ops Tiris yang melibatkan jumlah rampasan 33,586 unit barangan dengan nilai rampasan hampir RM122,000.
“Ada pengguna diesel yang menikmati subsidi guna Fleet Card beli diesel sebelum jual kepada sindiket sebelum sindiket jual kepada kilang-kilang dengan harga tinggi. Bagi Kedah, diesel yang kita berjaya gagalkan penyeludupan ini bernilai lebih RM101,000 manakala petrol lebih RM10,000, minyak masak, gula pasir kasar serta tepung gandum,” katanya.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah