Bahasa : BM | EN

Imigresen Selamat Tiga Wanita Indonesia Mangsa Pemerdagangan Manusia

07/01/2026 04:01 PM

JOHOR BAHRU, 7 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Johor menyelamatkan tiga wanita Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam operasi khas di sebuah premis perniagaan di Mount Austin di sini, semalam. 

Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi dari 3.30 hingga 6.30 petang melibatkan 24 pegawai bahagian penguat kuasa, dengan mangsa termasuk seorang pendatang tanpa izin berusia antara 24 hingga 33 tahun. 

 “Siasatan awal mendapati mereka dipaksa bekerja di kilang milik majikan pada waktu pagi dan di kediaman selepas tamat waktu kerja untuk tempoh antara satu hingga dua tahun.

“Mangsa mendakwa dijanjikan gaji RM1,800 sebulan namun tidak menerima sepenuhnya sejak bekerja selain pasport ditahan majikan. Pergerakan mereka juga dihadkan dan tidak dibenarkan berhubung dengan keluarga masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Rusdi berkata majikan wanita itu, seorang lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 31 hingga 62 tahun ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Beliau berkata operasi itu menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan dalam kalangan golongan rentan berpandukan Garis Panduan Nasional mengenai Indikator Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana majikan yang mengambil kesempatan ke atas pekerja asing melalui paksaan, ugutan atau eksploitasi,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami