JOHOR BAHRU, 18 Dis (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor mematahkan penyeludupan dadah menggunakan perkhidmatan kurier menerusi rampasan 13.17 kilogram (kg) dadah jenis bunga ganja bernilai RM1.29 juta dalam dua kes di Senai dan daerah ini, bulan lepas.
Pengarah Kastam Johor Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata rampasan pertama pada 12.45 tengah hari 26 Nov oleh pasukan Narkotik JKDM negeri menggagalkan cubaan menyeludup keluar dadah melalui perkhidmatan kurier di Senai.
“Pemeriksaan ke atas dua kotak parcel dialamatkan ke United Kingdom menemukan 24 bungkusan disyaki mengandungi bunga ganja dengan anggaran berat 13.04 kg bernilai RM1.27 juta dengan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun ditahan,” katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan dengan suspek dituduh di Mahkamah Majistret Kulai pada 3 Dis.
Kes kedua pada 5.10 petang 19 Nov melibatkan Cawangan Narkotik Bahagian Penguatkuasaan JKDM menahan seorang lelaki Filipina berusia 23 tahun selepas mengesan dan menjejak satu bungkusan mencurigakan yang beralamat di sebuah apartmen di Johor Bahru.
Aminul Izmeer berkata pemeriksaan ke atas bungkusan itu menemukan lima bungkusan kecil plastik lut sinar mengandungi tumbuhan disyaki bunga ganja dengan anggaran berat 135 gram bernilai RM14,112.
Suspek dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 25 Nov dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau berkata dua sindiket itu dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier sebagai modus operandi mengimport dan mengeksport dadah untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
Dalam perkembangan lain, Aminul Izmeer memaklumkan JKDM Johor menumpaskan 23 kes berkaitan narkotik bagi tempoh 1 Jan sehingga 30 Nov dengan nilai keseluruhan RM4,654,916.32.
Beliau berkata orang ramai boleh menyalurkan maklumat aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat dengan jaminan identiti dirahsiakan.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah