Bahasa : BM | EN

Jangan Terpedaya Panggilan Telefon Menyamar Pegawai JKNP

11/12/2025 07:20 PM

KUANTAN, 11 Dis (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya panggilan telefon berunsur penipuan yang melibatkan kononnya petugas jabatan itu.

Pengarah Kesihatan Pahang Dr Saiful Azlan Sharif berkata ini berikutan pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang mendapat panggilan telefon mendakwa mereka telah melakukan kesalahan dengan pemanggil menyamar sebagai pegawai daripada JKNP.

“JKNP menafikan penglibatan petugas jabatan ini dalam sebarang panggilan telefon berkenaan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan panggilan berunsur penipuan (scam) sedemikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sekiranya menerima panggilan telefon mencurigakan, orang ramai disarankan tidak mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, pasport dan nombor akaun bank.

“Bertenang dan fikir sama ada pernah mempunyai sebarang urusan dengan JKNP atau tidak. Jika tidak, abaikan panggilan tersebut atau buat laporan kepada pihak polis dengan segera,” katanya.

Untuk sebarang semakan dan pertanyaan lanjut, sila hubungi JKNP di talian 09-5707999 (8 pagi - 5 petang).

--BERNAMA

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami