Bahasa : BM | EN

Keperluan Mewujudkan Agensi Mengurus Maritim Di Malaysia

27/11/2025 05:25 PM

Oleh Profesor Dr Wan Izatul Asma Wan Talaat

Sebagai sebuah negara maritim dengan keluasan ruang lautan lebih dua kali ganda dari keluasan daratan, kebergantungan Malaysia terhadap lautan adalah hampir kesemua sektor ekonomi terutamanya makanan, perdagangan,  pengangkutan, tenaga dan juga pelancongan.

Sumber perikanan antara penyumbang utama ekonomi negara sejak sekian lama, dengan pulangan lumayan sebanyak RM8 bilion setahun dengan tangkapan  mencecah 1.4 juta tan metrik.

Kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah laluan utama kapal dengan kawasan lautan luas yang kaya dengan pelbagai sumber asli turut menawarkan pelbagai nilai strategik dari aspek persekitaran dan sosio-ekonomi.

Malaysia berada di tengah-tengah peta perdagangan maritim yang membuka peluang kepada perdagangan antarabangsa iaitu 90 peratus menggunakan laluan laut.

Sebagai selat kedua tersibuk di dunia, Selat Melaka berperanan penting dalam industri pelabuhan dan perkapalan serta berupaya meletakkan Malaysia sebagai hub utama perdagangan antarabangsa.

Pantai dan pulau yang indah membawa jutaan pelancong dari pelusuk dunia. Sumber asli lain seperti petroleum dan gas serta bahan galian juga adalah sumber untuk pembangunan ekonomi negara.

 

Cabaran Maritim

Di sebalik pelbagai peluang membangunkan Ekonomi Biru negara, terdapat cabaran yang mengancam keselamatan negara. Oleh itu, isu-isu keselamatan maritim perlu ditangani secara strategik.

Persekitaran geopolitik maritim serantau yang dinamik telah menjangkau melebihi ancaman tradisional seperti pergolakan persempadanan maritim kepada ancaman bukan tradisional seperti lanun, penyeludupan, aktiviti keganasan, IUU fishing (serta jenayah bersekutunya seperti pemerdagangan manusia dan pemalsuan dokumen).

Cabaran lain iaitu ancaman ekosistem lautan seperti perubahan iklim dan pemanasan global serta pencemaran daripada aktiviti perkapalan dan pencemaran dari daratan.

Semua ancaman maritim ini memberi tekanan yang besar terhadap aktiviti ekonomi dan secara langsung menjejaskan pendapatan negara. Pencerobohan oleh bot nelayan asing mengakibatkan negara kehilangan pendapatan hasil dari tangkapan ikan di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ).

Selain itu, kerosakan ekosistem marin kita juga sukar untuk dipulihkan.

Malaysia dianggarkan mengalami kerugian hasil tangkapan sebanyak RM6 bilion setiap tahun akibat daripada aktiviti perikanan haram di Pantai Timur Semenanjung.

Kerugian itu tidak mengambil kira kos baik pulih ekosistem marin yang rosak akibat penggunaan kaedah peralatan tangkapan yang tidak mampan seperti pukat tunda, pukat naga dan bom ikan.

 

Kelemahan Kerangka Tadbir Urus Lautan Negara

Ketika ini, pengurusan pelbagai aspek kelautan dan sumber berasaskan marin di negara ini secara umumnya dilaksanakan secara sektoral oleh pelbagai kementerian dan agensi Kerajaan.

Ia berpandukan beberapa dasar strategik, pengaturan institusi dan instrumen perundangan.   

Tidak kurang daripada 22 Akta dan peraturan yang diletakkan di bawah lebih 31 agensi merentasi pelbagai kementerian untuk mengurus hal ehwal berkaitan maritim dan sumber marin negara sebagaimana rajah di bawah.

Secara tidak langsung, ini menyebabkan ketidakcekapan dan pertindihan bidang kuasa antara pelbagai agensi.

Dalam sesi Focus Group Discussion bagi Projek Jangka Pendek Kementerian Ekonomi bagi Kajian Penambahbaikan Tadbir Urus Marine Spatial Planning (MSP) pada 15 April 2025, dihadiri hampir 100 orang wakil daripada 53 agensi pemegang taruh persekutuan dan negeri.

Sebanyak 94 peratus peserta bersetuju terdapat kelemahan dalam tadbir urus lautan negara dengan kelompangan berikut:

 

 

 

 

Tadbir Urus Lautan: Memacu Pembangunan Ekonomi Biru

Mengambil kira peluang dan cabaran sebagai sebuah negara maritim, terdapat keperluan mendesak untuk mengubah pendekatan dalam mengurus ruang maritim dan sumber laut negara terutamanya dalam usaha membangunkan Ekonomi Biru.

Pelbagai undang-undang sektoral yang ditadbir oleh pelbagai agensi boleh membawa kepada penggunaan sumber yang tidak cekap sama ada dari segi kewangan, infrastruktur dan manusia, selain pertindihan bidangkuasa yang boleh menyebabkan penguatkuasaan yang tidak optimal.

Sehubungan itu, sebagai langkah pertama untuk merealisasikan  tadbir urus lautan yang cekap demi memacu pembangunan Ekonomi Biru negara, sebuah badan pusat di peringkat nasional perlu diwujudkan untuk mengurus dan menyelaras hal ehwal maritim.

Berdasarkan pengalaman Direktorat Oseanografi Kebangsaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), badan pusat ini tidak boleh berfungsi secara ideal di bawah sesebuah kementerian mahupun ditubuhkan sebagai sebuah kementerian tersendiri.

Badan pusat tersebut harus berada di bawah Jabatan Perdana Menteri memandangkan isu kelautan yang merentas sektor dan bidangkuasa.

Memandangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memegang mandat Kerajaan Malaysia untuk menguatkuasakan Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982, instrumen undang-undang laut antarabangsa yang menjadi asas tadbir urus lautan dunia, agensi atau badan pusat ini sewajarnya diwujudkan di bawah MKN.

Satu Policy Brief berkenaan keperluan mewujudkan agensi mengurus hal ehwal maritim negara di Malaysia seperti carta yang dicadangkan di bawah telah dikemukakan kepada Ketua Pengarah Keselamatan Negara minggu lepas.

 

Komponen Utama Agensi Pengurusan Hal Ehwal Kelautan Negara

Bahagian Dasar dan Keselamatan Maritim berfungsi menyelaras segala isu yang melibatkan kepentingan kedaulatan dan keselamatan maritim negara.

  • Bahagian Pengurusan Sumber Marin menyelaras segala isu berkaitan sumber hidup dan tidak hidup di perairan negara dan di laut dalam yang merupakan khazanah negara.
  • Bahagian Perancangan Spatial Marin menetapkan pengezonan dan penggunaan ruang marin secara mampan, memandangkan perancangan spatial marin (MSP) adalah alat pengurusan pembangunan mampan yang mengimbangi kesejahteraan sosioekonomi dan alam sekitar.
  • Marine Portal Database dan National Ocean Accounting merupakan sistem maklumat atau kerangka yang mengintegrasi data alam sekitar, ekonomi dan sosial untuk mengukur sumbangan lautan kepada kesejahteraan negara dan  mengesan kemajuan ke arah pembangunan mampan.
  • Jawatankuasa Eksekutif yang dianggotai oleh semua kementerian yang terbabit memastikan agar tadbir urus lautan di bawah agensi ini mengambilkira segala aspek berkaitan.
  • Jawatankuasa Pemandu dianggotai oleh pegawai kanan, pakar rujuk dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi  memastikan halatuju agensi ini selaras dengan perkembangan semasa dan dapatan saintifik terkini untuk kepentingan negara.

 

Cadangan Carta Organisasi Agensi Pengurusan Hal Ehwal Kelautan Negara

Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia tidak boleh lagi mengelola hal ehwal kelautannya secara sektoral.

Menjelang pelancaran Malaysian Blue Economy Blueprint tidak lama lagi, sudah tiba masanya Malaysia mengorak langkah ke hadapan dengan menubuhkan agensi khusus bagi memastikan pembangunan Ekonomi Biru negara dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan kemas bagi memastikan kedaulatan serta hak berdaulat negara dapat dipelihara dengan baik.

Malaysia perlu kembali menggenggam kegemilangan silam sebagai sebuah negara maritim berdaulat yang bukan sahaja terkenal dengan kegagahan laksmana dan armadanya, tapi juga kehebatannya sebagai entreport yang menghubungkan perdagangan dunia barat dan timur.  

-- BERNAMA

 

Profesor Dr Wan Izatul Asma Wan Talaat ialah Ketua Pusat Tadbir Urus Lautan,  Institut Oseanografi dan Sekitaran,  Universiti Malaysia Terengganu.

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami