KOTA KINABALU, 27 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan bercadang untuk menaik taraf status pelajar Tingkatan Enam supaya setaraf dengan pelajar program pengajian matrikulasi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usul berkenaan telah dikemukakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
"Dulu, Tingkatan Enam dianggap sebahagian daripada sekolah (manakala) matrikulasi atau asasi lain, ada elaun. Oleh itu, status pelajar Tingkatan Enam ini mesti sama dengan matrikulasi.
"Apa sahaja yang diberikan untuk pelajar matrikulasi harus sama dengan pelajar Tingkatan Enam," kata beliau pada sesi dialog awam Program PMX Sayang Sabah Bersama Anak Muda Inanam di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga merancang untuk menubuhkan sebuah Kolej Tingkatan Enam di Sabah yang dilengkapi kemudahan asrama pelajar.
Dalam Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, Fadhlina memaklumkan Kementerian Pendidikan sedang meneliti potensi menjadikan Keningau sebagai hab pendidikan termasuk mempertimbangkan penubuhan sebuah Kolej Tingkatan Enam di daerah itu.
Langkah berkenaan sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperluas peluang pembelajaran pascamenengah kepada pelajar luar bandar.
Anwar berkata semua pembangunan termasuk menyediakan infrastruktur pendidikan seperti menaik taraf sekolah daif negeri ini adalah hasil kerjasama baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah.
Beliau berkata anak-anak muda Sabah perlu dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran kerana generasi berpendidikan bukan sahaja mampu memajukan diri dan keluarga, malah turut menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah