Bahasa : BM | EN

LHDN Bongkar Ketidakpatuhan Cukai Kartel Jual Beli Kenderaan Mewah

18/11/2025 10:37 AM

PUTRAJAYA, 18 Nov (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) membongkar ketidakpatuhan cukai sebuah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel jual beli kenderaan mewah, dengan kegagalan melaporkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan dianggarkan sekitar RM70 juta.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya telah melaksanakan operasi penguatkuasaan terhadap syarikat berkenaan, membabitkan premis perniagaan, kediaman pengarah syarikat dan sebuah firma juruaudit di Lembah Klang semalam.

“Menerusi operasi ini, tindakan penggeledahan dijalankan bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan ketidakpatuhan cukai.

“Siasatan awal mendapati syarikat tersebut gagal melaporkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan berjumlah anggaran RM70 juta,” menurut kenyataan itu.

Kes kini disiasat di bawah kesalahan subseksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 terhadap syarikat dan perenggan 113(1)(a) ACP 1967 terhadap pengarah syarikat.

“(Operasi ini) sejajar dengan usaha kerajaan dalam memerangi kartel dan sindiket penyeludupan yang berakar umbi sejak puluhan tahun hingga menjejaskan hasil negara,” katanya.

LHDN menegaskan bahawa antara kes pelarian cukai yang sedang dan akan diambil tindakan pendakwaan, termasuk kes-kes melibatkan kegiatan perlombongan emas, penipuan (scam), penyalahgunaan status kebajikan untuk mengaburi transaksi, hasil perjudian, aktiviti haram lain, serta perniagaan milik warga asing yang gagal melaporkan pendapatan. 

“Langkah ini menunjukkan komitmen berterusan LHDN untuk memastikan setiap pihak mematuhi peraturan percukaian dan membendung ketirisan hasil negara.

“Justeru, LHDN kekal teguh dalam memastikan integriti sistem percukaian negara terus terpelihara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana cubaan mengelak cukai dan memastikan setiap pihak menunaikan tanggungjawab cukai mereka demi kesejahteraan negara dan rakyat,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan operasi berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada tindakan bersasar LHDN dalam memperkukuh pematuhan cukai, khususnya dalam sektor yang melibatkan transaksi bernilai tinggi seperti kenderaan mewah.

“Ketidakpatuhan yang melibatkan jumlah besar bukan sahaja merencatkan hasil negara malah menjejaskan keadilan sistem percukaian dan tidak harus dipandang ringan,” katanya.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami