RAUB, 30 Okt (Bernama) -- Kempen Internet Selamat (KIS) dijangka selesai dilaksanakan di 10,000 sekolah di seluruh negara menjelang suku ketiga tahun depan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata setakat pertengahan Oktober tahun ini, kempen berkenaan telah dilaksanakan di 6,000 sekolah di seluruh negara.
“Di Pahang, kita telah melaksanakan kempen ini di hampir 400 sekolah, namun sasaran keseluruhan masih belum dicapai. Hasrat saya menjelang tahun depan, kita dapat menamatkan pelaksanaan di semua sekolah, bukan sahaja di Pahang tetapi di seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kempen Internet Selamat Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Raub Indah di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang Fadzli Mohamad Kamal serta Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mano Verabathran.
Fahmi berkata, kementerian akan melantik Ikon Kapten Kadet bagi membantu menyampaikan maklumat berkaitan keselamatan internet secara berkala semasa perhimpunan mingguan di sekolah.
“Ini termasuk mengenai ancaman jenayah dalam talian (scam) terkini serta dasar kerajaan seperti keputusan mengehadkan penggunaan media sosial kepada individu berusia bawah 16 tahun,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan melaksanakan projek Point of Presence (PoP) di 170 sekolah di Pahang bagi memperluaskan capaian jalur lebar.
“Projek ini baru selesai proses tender dan kerja-kerja dijadualkan bermula di 170 sekolah di Pahang pada Januari 2026. Sebelum ini, sebanyak 17 sekolah di bawah fasa pertama telah siap dilaksanakan,” katanya.
MCMC turut melaksanakan pemasangan kemudahan Wi-Fi di sekolah-sekolah berkenaan bagi memastikan capaian internet yang lebih baik untuk kegunaan guru dan pelajar.
“Saya juga telah berbincang dengan Menteri Pendidikan mengenai usaha membantu pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah, dengan keutamaan diberikan kepada sekolah berasrama penuh di Pahang, dan ini boleh dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
      Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
      Kementerian Dalam Negeri
      Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
      Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
      62546 Putrajaya
      Malaysia
      
       +603-8880 8854
       +603-8880 8829
       nsomapo[at]moha.gov.my
      
Kategori
      • Mengenai MAPO
      • Maklumat Penting
      • Laporan Tahunan 2021-2022
      • NAPTIP
      • Direktori
      • Berita
      • Gambar
      • Infografik
      • e-Risalah