LONDON, 23 Okt (Bernama-PA Media/dpa) -- Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah memeterai satu perjanjian yang menurutnya akan memastikan keadaan kerja yang “baik dan selamat” bagi pekerja di tapak pembinaan berkaitan Piala Dunia, lapor PA Media/dpa.
Sebelum ini, pertubuhan hak asasi manusia memberi amaran bahawa pekerja migran berisiko kehilangan nyawa semasa persiapan Arab Saudi menjadi tuan rumah edisi 2034 sekiranya tiada pembaharuan besar dilaksanakan, sambil mengkritik FIFA kerana gagal melindungi pekerja yang terlibat dalam projek berkaitan Piala Dunia 2022 di Qatar.
FIFA pada Rabu mengumumkan perjanjian baharu dengan Kesatuan Antarabangsa Pekerja Sektor Pembinaan dan Kayu (BWI) yang “menetapkan rangka kerja bagi pemeriksaan bersama, latihan dan pelaporan untuk menggalakkan keadaan kerja yang baik dan selamat bagi semua pekerja yang terlibat dalam pembinaan dan pengubahsuaian stadium serta infrastruktur lain yang dikaitkan dengan kejohanan FIFA.”
FIFA berkata perjanjian itu, yang berkuat kuasa sehingga 2030, akan membolehkan BWI dan FIFA menjalankan pemeriksaan buruh bersama, melatih wakil pekerja, memastikan tindakan pembetulan dan pemulihan diambil apabila “kesan buruk dikenal pasti”, serta menerbitkan laporan ringkasan tahunan bersama oleh jawatankuasa kecil hak asasi manusia dan kelestarian FIFA.
Setiausaha Agung FIFA Mattias Grafstrom berkata: “Seperti BWI, FIFA amat mengambil berat tentang hak pekerja.
“Adalah penting agar semua pekerja yang terlibat dalam projek berkaitan kejohanan FIFA menikmati keadaan kerja yang baik, pendapatan yang adil, keselamatan di tempat kerja, perlindungan sosial dan penyertaan menyeluruh.
“Kami mahu memastikan semua pihak mendapat manfaat apabila sesebuah negara menjadi tuan rumah kejohanan FIFA, termasuk mereka yang membina infrastrukturnya.”
Sebelum ini, Amnesty International menyifatkan laporan penilaian bidaan Arab Saudi bagi edisi 2034 -yang menilai risiko hak asasi manusia negara itu sebagai “risiko sederhana” - sebagai “tindakan menutup kebenaran”.
Amnesty telah dihubungi untuk mendapatkan ulasan berhubung perjanjian FIFA dengan BWI.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah