KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Lawatan Gilbert F. Houngbo ke Malaysia sangat bersejarah kerana ia adalah lawatan rasmi pertama Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) ke negara ini.
Sebagai meraikan Houngbo, Menteri Sumber Manusia Steven Sim telah mengadakan pertemuan santai sambil menikmati makan tengah hari di Restoran Cili Kampung di sini semalam dengan hidangan tempatan termasuk ‘raja buah’ iaitu durian yang menjadi tarikan utama kepada delegasi ILO.
"Suasana santai dan penuh dengan keakraban ini mencerminkan semangat keterbukaan dan persahabatan yang menjadi asas hubungan Malaysia-ILO sejak sekian lama," menurut kenyataan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) hari ini.
Kementerian itu memaklumkan pertemuan berkenaan turut disertai wakil kerajaan, pekerja dan majikan yang menyerlahkan semangat saling menghormati dan kepercayaan menjadi tunjang kepada kerjasama tiga pihak di Malaysia.
Antara yang hadir ialah Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Datuk Abdul Halim Mansor, Naib Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Mohd Zool Asmani Mahmood serta Setiausaha Bahagian Antarabangsa KESUMA Raja Mohd Nizam Raja Kamarulbahrin.
Menurut KESUMA, dalam pertemuan terbabit, Sim turut menyuarakan hasrat Malaysia untuk menyertai Global Coalition for Social Justice semasa Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) sesi ke-114 pada tahun hadapan iaitu satu inisiatif ILO yang ditubuhkan sejak 2023 bagi memperkukuh usaha global ke arah mencapai keadilan sosial sejagat.
"Penyertaan Malaysia kelak akan menzahirkan komitmen Malaysia untuk terus melindungi hak pekerja, memperluas jaringan perlindungan sosial dan menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)," menurut kenyataan itu.
Hari ini, Houngbo menghadiri Forum Kemahiran Global (GSF) anjuran HRD Corp, sebuah agensi di bawah KESUMA dan forum berkenaan menjadi wadah penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam agenda pembangunan kemahiran serta pekerjaan masa depan.
ILO merupakan agensi khusus di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan pada 1919 dengan mandat mempromosikan keadilan sosial, hak asasi pekerja serta konsep pekerjaan bermaruah di seluruh dunia.
Malaysia menjadi anggota ILO pada 1957 dan telah meratifikasi 18 Konvensyen ILO dengan 14 daripadanya masih berkuat kuasa selain bekerjasama rapat dengan pertubuhan berkenaan dalam pelbagai bidang termasuk hak pekerja migran, buruh paksa dan rantaian bekalan.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah