Bahasa : BM | EN

Kerani Rugi Hampir RM300,000 Terpedaya Tawaran Kerja Sambilan

01/09/2025 12:15 PM

KUANTAN, 1 Sept (Bernama) – Seorang kerani akaun kerugian hampir RM300,000 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja sambilan tidak wujud melalui aplikasi TikTok bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata wanita berusia 52 tahun itu berkenalan dengan seorang individu menerusi aplikasi berkenaan pada 1 Ogos, sebelum ditawarkan peluang pekerjaan sambilan melalui satu pautan yang menyerupai platform e-dagang.

“Mangsa menerima pautan laman web daripada suspek dan membuat pendaftaran pada laman tersebut. Wanita terbabit diarahkan membuat pembayaran terlebih dahulu atas nama tempahan pelanggan kononnya bagi urusan jualan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudiannya membuat sebanyak 16 transaksi ke dalam empat akaun bank berbeza berjumlah RM299,646 menggunakan wang simpanannya sendiri, namun tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan.

Dalam pada itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan melalui media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan serta membuat semakan awal di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.

“Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa juga dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami