Bahasa : BM | EN

Reformasi KDN Perkukuh Keupayaan Maritim Malaysia

17/09/2025 06:03 PM

PUTRAJAYA, 17 Sept (Bernama) -- Reformasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah kepimpinan Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi impak besar terhadap kesiapsiagaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui penaiktarafan serta pertambahan aset baharu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menerusi satu kenyataan hari ini berkata penekanan KDN terhadap keupayaan aset agensi jelas memperlihatkan sokongan kerajaan terhadap pengukuhan operasi maritim negara.

“KDN memberi perhatian serius terhadap keupayaan Maritim Malaysia. Dengan pertambahan aset, rondaan dapat dipertingkat, aktiviti jenayah maritim pula dapat dibanteras dengan lebih berkesan,” katanya pada majlis amanat sempena genap setahun kepimpinannya sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata kekuatan aset baharu yang diterima membuktikan reformasi KDN diterjemahkan dalam bentuk tindakan lapangan dan bukan sekadar dasar.

“Ini menjadi pemangkin kepada operasi Maritim Malaysia untuk terus memelihara keselamatan perairan negara. Maritim Malaysia akan pastikan setiap aset dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE) Mohd Jamizal Zainol dalam satu siaran “podcast” menegaskan kepimpinan Saifuddin Nasution berupaya mengurus kementerian paling kompleks melibatkan lebih 50 undang-undang dan 10 agensi di bawah seliaan.

Sementara itu, Mohd Rosli turut menegaskan Maritim Malaysia sebagai agensi keselamatan maritim di bawah KDN akan terus berada di barisan hadapan mengawal keselamatan dan kesejahteraan perairan negara.

“Cabaran maritim semakin kompleks daripada aktiviti penyeludupan, pemerdagangan manusia, ancaman jenayah rentas sempadan hingga kepada keselamatan komuniti nelayan tempatan.

“Maritim Malaysia komited memastikan setiap inci perairan negara kekal selamat dan akan terus memperkukuh kekuatan aset, anggota serta operasi selari dengan aspirasi KDN,” katanya.

Beliau juga berkata dengan sokongan rakyat dan kerjasama semua pihak Maritim Malaysia yakin mampu melangkah lebih jauh sebagai perisai maritim negara yang dihormati di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA


 


 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami