Bahasa : BM | EN

Dua Anggota Maritim Cedera Dirempuh Bot Pancung Bawa Pendatang Tanpa Izin

17/09/2025 05:33 PM

(membetulkan maklumat dalam perenggan kedua take 1)

 

SEREMBAN, 17 Sept (Bernama) -- Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan cedera selepas dirempuh sebuah bot pancung disyaki membawa sekumpulan pendatang tanpa izin malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata dalam insiden pada kira-kira 9 malam itu, seorang anggota berusia 34 tahun mengalami kecederaan di bahagian atas hidung manakala seorang lagi, yang berusia 36 tahun, cedera di kaki dan tangan akibat hentakan.

Beliau berkata mereka dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil. 

“Sistem Pengawasan Laut  Lumut mengesan sebuah bot yang mencurigakan pada 8 malam di kawasan Skim Pemisahan Trafik disyaki menuju ke perairan Tanjung Rhu, Sepang dan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Op Patkor Optima diatur gerak bagi memintas bot berkenaan.

“Bagaimanapun, menyedari kehadiran aset penguat kuasa, bot pancung yang dilengkapi tiga enjin berkuasa tinggi itu bertindak agresif apabila dikejar dan merempuh sisi kiri bot operasi sehingga mengalami kerosakan teruk sebelum meloloskan diri,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

-- LAGI

 

MARITIM-CEDERA 2 (AKHIR) SEREMBAN

 

Beliau berkata bot itu dipercayai berpatah keluar dari perairan Malaysia selepas gagal melakukan pendaratan dan operasi pengesanan serta tindakan khas kini giat dilaksanakan bagi menjejaki suspek serta rangkaian penyeludupan terlibat.

Salehuddin berkata Maritim Malaysia memandang serius cubaan penyeludupan manusia melalui laluan laut kerana ia bukan sahaja mengancam keselamatan negara malah turut membahayakan nyawa pendatang tanpa izin serta anggota penguat kuasa.

“Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa tugas sebagai anggota penguat kuasa Maritim berisiko tinggi kerana sentiasa berhadapan ancaman secara langsung di laut termasuk dirempuh selain berdepan kemungkinan kehilangan nyawa ketika menjalankan amanah negara,” katanya.

Justeru, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti seumpama itu untuk menyalurkannya segera kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876 730 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA

 

TAG: Maritim Malaysia, anggota, cedera, rempuh, bot pancung, pendatang tanpa izin, perairan


SBMK SFH SBB

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami