Bahasa : BM | EN

Jejak Digital Malaysia: Dari 'Dial-up' Ke Era Pintar

17/09/2025 05:55 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Mungkin ada yang masih ingat perasan teruja mendengar bunyi berderit sambungan internet dial-up pada lewat 1990-an, menandakan usaha mendapatkan akses internet telah berjaya.

Hari ini, sambungan internet tersedia membolehkan ramai mencapai telefon dan melayari internet sebaik sahaja bangun tidur. Kelajuannya jauh lebih pantas daripada sambungan ketika era internet jalur sempit dan capaian internet di Malaysia pula boleh dikatakan hampir menyeluruh. Ini semestinya telah mengubah cara rakyat Malaysia bekerja, berhibur dan berhubung.

Perjalanan digital Malaysia bermula pada 1988 apabila Institut Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) menubuhkan rangkaian komputer universiti yang dinamakan Rangkaian Komputer Malaysia (RangKom). Ia mempunyai empat talian dial-up ke Australia, Korea Selatan, Belanda dan Amerika Syarikat, yang menawarkan akses kepada e-mel dan kumpulan berita.

Langkah itu tidak lama kemudian membawa kepada penubuhan penyedia perkhidmatan internet pertama Malaysia, JARING, di bawah Rancangan Malaysia Keenam pada 1992.

Penggunaan lebih meluas menyusul selepas Telekom Malaysia melancarkan TMNet pada 1995, yang tidak lama kemudian menjadi penyedia perkhidmatan internet terbesar negara.

Dari 1995 hingga 1996, sekitar 1 peratus rakyat Malaysia berada dalam talian.

Menjelang 2023, angka daripada Bank Dunia menunjukkan penggunaan internet melonjak kepada 98 peratus populasi, mencerminkan salah satu kadar penerimaan teknologi terpantas dalam sejarah negara.

Penerimaan meningkat pesat pada dekad 2010-an apabila penggunaan telefon pintar mampu milik dan internet mudah alih semakin meluas. Kadar penggunaan internet dalam kalangan rakyat meningkat daripada 56 peratus pada 2010 kepada 66 peratus pada 2012, menggambarkan betapa pantasnya rakyat Malaysia menerjah dunia dalam talian.

Program kerajaan seperti Inisiatif Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) yang dilancarkan pada 2010, bersama pelaburan sektor swasta, turut memperluas capaian di seluruh negara.

Menjelang 2012, peralihan kepada internet mudah alih jelas di seluruh dunia. Laporan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa tahun itu menyatakan jalur lebar mudah alih merupakan perkhidmatan ICT yang berkembang paling pesat, dengan langganan meningkat 40 peratus secara global dan 78 peratus di negara membangun.

Pada ketika itu, jumlah langganan jalur lebar mudah alih meningkat dua kali ganda berbanding jalur lebar tetap, suatu perubahan yang menjadikan telefon pintar wadah utama mengakses internet.

Tahun yang sama, Facebook memperoleh Instagram dengan nilai sekitar AS$1 bilion, langkah yang dilihat mengiktiraf kebangkitan platform visual berasaskan mudah alih.

Data Bank Dunia turut menunjukkan satu lagi lonjakan pada 2021, apabila penggunaan internet mencapai 97 peratus populasi. 

Peningkatan ini berlaku seiring dengan sekatan pergerakan akibat COVID-19, ketika jutaan rakyat Malaysia bergantung pada internet untuk bekerja dari rumah, mengikuti pembelajaran dalam talian dan mendapatkan perkhidmatan harian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Hari ini, capaian hampir menyeluruh telah mengubah cara rakyat Malaysia bekerja, membeli-belah, belajar dan berkomunikasi, di samping mendorong kemunculan industri baharu seperti e-dagang, teknologi kewangan dan kecerdasan buatan. 

Namun ia juga membawa cabaran, termasuk ancaman keselamatan siber, jurang literasi digital dan penularan maklumat palsu yang tidak terkawal.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang juga pengerusi jawatankuasa induk sambutan Hari Malaysia tahun ini, berkata sambutan itu perlu dihayati dengan kebijaksaan menghadapi cabaran semasa termasuk ancaman penipu (scammer) dan penyebar fitnah.

“Ia (sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia) tidak bermakna kalau kita terus dijajah scammer dan pemfitnah,” katanya pada 16 Sept, sambil menggesa rakyat Malaysia agar lebih berwaspada menggunakan internet dan media sosial.

Beliau turut menegaskan bahawa patriotisme mesti melangkaui aksi mengibar Jalur Gemilang. 

“Kita mesti mempertahankan kedaulatan negara, identiti kita, negara kita,” katanya.

Ketika negara mengenang enam dekad perpaduan, perjalanan digital ini menjadi penanda aras dan juga peringatan bahawa kemajuan mesti seiring dengan tanggungjawab agar internet kekal sebagai alat untuk memperkasa, bukan untuk memecahbelahkan rakyat.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami