Penyelidik: Azurra Iz
Suntingan Adila Ali & Shazlina Azman
SEKILAS FAKTA
Tular kewujudan portal menggunakan logo LHDN yang dikatakan menyediakan semakan kelayakan pelbagai bantuan kerajaan termasuk STR melalui aplikasi Telegram.
Pengguna diminta untuk mengisi maklumat peribadi termasuk nombor telefon yang digunakan di Telegram, kononnya untuk membuat semakan kelayakan bantuan.
Semakan mendapati portal itu adalah palsu dan cuba meniru reka bentuk laman sesawang bantuan kerajaan oleh LHDN untuk memperdaya mangsa.
LHDN tidak akan meminta orang ramai membuat semakan kelayakan menerusi Telegram, justeru orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengakses atau memberikan sebarang maklumat peribadi di portal berkenaan.
pix1
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima maklumat daripada orang awam berhubung kewujudan portal bantuan kerajaan LHDN yang menyediakan semakan kelayakan bantuan menerusi aplikasi Telegram.
Antara bantuan itu adalah bantuan e-wallet, Sumbangan Tunai Ramah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Dikatakan orang ramai boleh membuat semakan status kelayakan dengan mengisi maklumat peribadi dan nombor telefon yang digunakan di Telegram pada ruangan yang disediakan pada portal berkenaan.
pix2
APA YANG KAMI TEMUI
Pautan Tidak Mempunyai ‘gov.my'
MyCheck memulakan semakan dengan meneliti domain atau alamat portal tersebut.
Semakan terhadap domain adalah penting untuk memberikan petunjuk awal sama ada sesuatu portal itu boleh dipercayai atau diragui kesahihannya.
Bagi portal yang ‘mendakwa’ sebagai laman web kerajaan pula, domainnya haruslah berakhir dengan 'gov.my', seperti yang dilaporkan Bernama menerusi Astro Awani.
Bagaimanapun berdasarkan alamat portal berkenaan iaitu ‘bantuan-malaysia28.agronet-my.com’, didapati ia menimbulkan kesangsian kerana tidak mempunyai sambungan URL gov.my.
pix3
Paparan di Portal Tidak Berfungsi Dengan Baik
Kami kemudian meneliti portal tersebut.
Terpampang grafik bantuan e-wallet, STR dan SARA.
Di bahagian atas portal pula terpapar lambang Jata Negara Malaysia yang merupakan lambang rasmi kerajaan Malaysia, logo LHDN dan perkataan HUBUNGI KAMI, AGENSI serta HASIL STR.
Namun timbul satu lagi keraguan kerana perkataan-perkataan tersebut tidak boleh diklik.
pix4
Semak Kelayakan Melalui Telegram
Kami kemudian menatal ke bahagian bawah portal dan tertera ayat bertulis ‘Sila Masukkan Nombor Telefon Telegram Anda Untuk Menyemak Status Kelayakan’.
Di bawahnya disediakan ruangan untuk mengisi nama penuh seperti di MyKad dan nombor Telegram yang aktif untuk menerima kod OTP (One-Time Password).
Berdasarkan pemerhatian MyCheck, permintaan maklumat peribadi seperti nama penuh dan nombor telefon ke Telegram ini sama seperti modus operandi Telegram Takeover yang pernah kami laporkan sebelum ini.
Telegram Takeover ialah taktik phishing dengan cara menggodam akaun Telegram untuk mendapatkan maklumat peribadi mangsa.
pix5
Portal Palsu Cuba Tiru Laman Bantuan LHDN
Bagi mendapatkan maklumat selanjutnya, kami melakukan semakan di portal bantuan kerajaan LHDN iaitu di bantuantunai.hasil.gov.my.
Kami cuba membandingkan kedua-dua portal iaitu bantuan-malaysia28.agronet-my.com dan bantuantunai.hasil.gov.my dan sekali imbas ia kelihatan seakan sama.
Namun jika diperhatikan, dapat dilihat perbezaan yang ketara terutama pada domain pautan serta paparan di kedua-dua portal.
Perkataan HUBUNGI KAMI, AGENSI dan HASIL STR pada portal sah juga boleh diklik, tidak seperti portal tular yang tidak berfungsi sewajarnya.
pix6
Notis Amaran LHDN
MyCheck kemudian membuat semakan lanjut di portal rasmi LHDN dan menemukan notis amaran berhubung laman web dan akaun media sosial palsu.
Menurut notis amaran itu, LHDN mengingatkan orang ramai untuk tidak mengakses atau memberikan sebarang maklumat peribadi di laman web atau akaun media sosial palsu berhubung bantuan kerajaan.
“Kementerian Kewangan dan LHDN telah menerima aduan mengenai kewujudan laman sesawang dan akaun media sosial palsu berkaitan STR dan SARA.
“LHDN tidak melantik mana-mana individu untuk menjawab pertanyaan dan soalan mengenai STR menerusi WhatsApp atau panggilan menggunakan nombor talian peribadi, menurut LHDN.
pix7
KESIMPULAN
Berdasarkan semakan, portal mengenai bantuan kerajaan dengan domain bantuan-malaysia28.agronet-my.com adalah portal palsu.
Portal tersebut direka mirip laman bantuan kerajaan LHDN dan cuba memperdaya orang ramai untuk memasukkan nama dan nombor telefon yang digunakan di Telegram kononnya untuk membuat semakan kelayakan bantuan.
Ia merupakan Telegram Takeover iaitu taktik phishing untuk mencuri maklumat peribadi mangsa, seterusnya menggodam akaun Telegram untuk tujuan scam.
Diingatkan, LHDN tidak akan meminta orang ramai membuat apa jua semakan melalui Telegram atau lain-lain aplikasi seumpamanya.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya kepada mana-mana pautan yang mendakwa sebagai laman web kerajaan kecuali alamatnya berakhir dengan gov.my.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah