JOHOR BAHRU, 22 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun kerugian RM267,888 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang diiklankan menerusi Facebook.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata laporan berhubung kejadian itu dibuat mangsa di Balai Polis Pelangi Indah di sini semalam setelah menyedari ditipu oleh individu yang menyamar sebagai ejen pelaburan.
“Siasatan awal mendapati mangsa tertarik dengan iklan pelaburan yang dipaparkan di Facebook sebelum berhubung dengan seorang wanita memperkenalkan diri sebagai ‘Olivia Leong’ melalui aplikasi WhatsApp.
“Suspek memperdaya mangsa dengan menjanjikan pulangan pelaburan hingga 80 peratus dalam tempoh singkat. Mangsa kemudian diarahkan memuat turun sebuah aplikasi dan berurusan dengan individu bernama ‘George’ bagi tujuan transaksi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila cuba mengeluarkan wang pelaburannya namun diarahkan suspek untuk membuat tambahan pelaburan.
Raub berkata mangsa telah melakukan sembilan pemindahan wang antara 4 hingga 17 Julai ke akaun sebuah syarikat melibatkan jumlah keseluruhan RM267,888.
Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan memperoleh harta melalui tipu daya, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda.
“Polis menasihati orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan janji pulangan pelaburan luar biasa yang dipaparkan di media sosial, serta jangan serahkan maklumat peribadi dan elak memuat turun aplikasi tidak sah,” katanya.
Selain itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penipuan diminta menyalurkan kepada National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 atau membuat semakan melalui portal rasmi Semak Mule di pautan https://semakmule.rmp.gov.my.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah