PASIR MAS, 16 Julai (Bernama) -- Kandang lembu di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand kini dipercayai menjadi transit sindiket dadah yang membuatkan pemilik kandang terdedah kepada risiko dijadikan sebagai ‘orang tengah’ sindiket.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata walaupun tiada siasatan rasmi setakat ini yang membuktikan pemilik kandang terlibat secara langsung, laporan risikan mendapati ada indikasi dadah diseludup bersama lembu atau kambing dalam rangkaian logistik kandang.
“Kita beri amaran bahawa ramai pemilik kandang ternakan berdekatan sempadan berisiko menjadi ‘orang tengah’ sama ada secara sukarela kerana terpengaruh dengan keuntungan besar mahupun kerana dipaksa oleh sindiket.
“Sindiket dipercayai menggunakan kandang seperti di Kampung Tualang dan Simpangan, Tumpat serta Kampung Kubang Pak Itam, Jeram Perdah dan Tok Deh, Pasir Mas,” katanya kepada Bernama.
Baru-baru ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama polis Kelantan berjaya merampas 35.4 kilogram pil kuda bernilai lebih RM5 juta dalam enam serbuan di Pasir Mas dan Tumpat.
Menerusi serbuan itu, 20 kilogram dadah ditemui disembunyikan dalam najis lembu di kandang milik suspek di Banggol Chica, Pasir Mas.
Nik Ros Azhan berkata dari Januari hingga 30 Jun lepas, PGA telah merekodkan 34 kes penyeludupan haiwan ternakan dengan 39 tangkapan serta melibatkan rampasan 818 haiwan iaitu 274 lembu, 18 kerbau serta 526 kambing biri-biri.
Sepanjang 2024 pula, beliau berkata PGA merekodkan 47 kes dengan 56 individu ditangkap dan 80,755 haiwan dirampas termasuk ayam (80,025), lembu (385), kambing biri-biri (340) dan kerbau (5).
“Hasil pemeriksaan anggota PGA di beberapa pangkalan haram turut menemukan tali untuk menambat lembu di batang pokok, selain kesan najis dan tapak kaki lembu di tebing sungai.
“Difahamkan, selepas bilangan lembu mencukupi haiwan itu akan diheret sejauh dua hingga tiga kilometer dari tebing sungai ke kandang haram sebelum dimuatkan ke dalam lori untuk dihantar ke lokasi tertentu,” katanya.
Beliau menegaskan PGA akan terus memperketatkan pemantauan dan tindakan tegas akan diambil jika terbukti ada pemilik kandang bersubahat dalam kegiatan penyeludupan dadah yang menggunakan lembu atau kambing sebagai ‘perisai’.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah