Bahasa : BM | EN

PGA, KPDN Gagalkan Cubaan Seludup Diesel Di Tumpat

13/06/2025 08:49 PM

KOTA BHARU, 13 Jun (Bernama) -- Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup diesel ke negara jiran dalam serbuan di sebuah stor di Kampung Telaga Lanas, Tumpat pada Rabu.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata serbuan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu dilakukan kira-kira 3 petang selepas pihaknya menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan yang menuju ke kawasan stor berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas stor yang tidak berkunci itu membawa kepada penemuan dua buah kenderaan, termasuk sebuah yang telah diubah suai tangkinya dipercayai bagi tujuan penyeludupan bahan api bersubsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemui kira-kira 940 liter diesel yang disyaki untuk diseludup ke Thailand.

“Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1967,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM268,000 merangkumi minyak diesel dan dua kenderaan terbabit.

Beliau berkata semua barang rampasan telah diserahkan kepada KPDN Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

“PGA akan terus memperhebat operasi bersama agensi penguat kuasa lain bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang menyebabkan kerugian besar kepada negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 277920

Ikut Kami