Suntingan: Sakina Mohamed
SEKILAS FAKTA
Tular mesej mengenai bantuan eMADANI berjumlah RM350 bagi golongan B40 dan M40.
Turut disertakan satu pautan bagi menuntut bantuan kewangan itu.
Semakan mendapati maklumat mengenai bantuan itu adalah palsu dan pernah tular pada 2024. Pautan yang disertakan membawa pengguna ke laman palsu yang bertujuan memancing data peribadi.
Bantuan eMADANI sebenarnya pernah disalurkan kerajaan pada tahun 2023, namun jumlahnya hanyalah RM100 dan diberi secara one-off. Ia disalurkan dalam bentuk kredit e-Wallet kepada golongan B40 dan M40 berpendapatan RM100,000 ke bawah.
pix1
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima mesej menerusi WhatsApp daripada orang awam mengenai program bantuan “e-Wallet MADANI 2025” sebanyak RM350 sebulan bagi golongan B40 dan M40 di Malaysia.
Mesej dengan status forwarded itu turut mengandungi pautan untuk membuat tuntutan yang dinyatakan.
Pengirim asal mendakwa telah berjaya membuat tuntutan bagi bantuan tersebut dan menggalakkan orang ramai untuk menekan pautan bagi “menyemak status”.
pix2
APA YANG KAMI TEMUI
Pelbagai Kesilapan Mencurigakan
MyCheck memulakan semakan dengan meneliti maklumat mengenai bantuan tersebut serta pautan yang diberikan dan mendapati beberapa kesilapan seperti berikut:
Terdapat kesilapan ejaan dan tatabahasa yang lazimnya tidak dilakukan warga tempatan.
Jumlah bantuan yang dinyatakan berbeza dengan jumlah yang tertera pada pautan. Dakwaan menyatakan jumlah bantuan adalah RM350 namun jumlah pada pautan adalah RM200.
Sambungan URL yang mencurigakan, iaitu .dev. Pautan ke laman web rasmi kerajaan biasanya menggunakan sambungan URL gov.my.
pix3
Pautan Tidak Mempunyai ‘gov.my’
Pautan rasmi bagi laman web kerajaan menggunakan sambungan URL gov.my bagi menandakan kesahihan, selain mengesahkan sesuatu laman web itu didaftarkan dan beralamat di Malaysia.
Memetik laporan Bernama bertarikh 5 Mei 2025, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya kepada mana-mana pautan yang mendakwa sebagai laman web kerajaan kecuali alamatnya berakhir dengan gov.my.
Menurut beliau, scammer kerap menyebarkan pautan palsu yang kononnya membolehkan orang ramai menyemak status sumbangan menerusi laman web dengan sambungan URL meragukan, yang dihantar melalui WhatsApp dan platform media sosial lain.
Laman Web Bertujuan Memancing Data
MyCheck seterusnya merujuk laman web Malwarebytes Labs untuk mengetahui lebih lanjut tentang sambungan URL pages.dev.
(Malwarebytes ialah syarikat keselamatan siber yang pakar dalam pembangunan penyelesaian masalah perisian hasad).
Menurut syarikat itu, sambungan URL pages.dev biasanya disekat oleh perisian mereka kerana kerap kali dikaitkan dengan aktiviti phishing.
Phishing ialah penipuan dalam talian yang mana pihak scammer menyamar sebagai sumber rasmi dan cuba memancing maklumat peribadi seperti kata laluan dan nombor akaun bank.
pix4
Selain sambungan URL pages.dev, laman web tersebut turut mempamerkan sambungan URL vercel.app.
Semakan kami ia datang daripada Vercel, sebuah syarikat yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk dalam pembangunan laman web.
Namun, perkhidmatan syarikat tersebut kadangkala disalah guna sesetengah pihak untuk melakukan kerja penipuan.
Contoh laman palsu yang mengandungi sambungan URL vercel.app ialah yang kononnya bagi perkhidmatan Malaysia Digital Arrival Card. Maklumat palsu ini telah pun ditangkis Jabatan Imigresen Malaysia.
pix5
Pautan Minta Butiran Peribadi
Pautan yang diberi akan membawa pengguna ke laman yang mengandungi borang. MyCheck mendapati laman itu turut mempunyai beberapa perkara mencurigakan antaranya:
Kesilapan ejaan, contohnya MyKad dieja sebagai ‘MayKad’.
Penggunaan laras bahasa yang janggal, contoh “Nama sesuai MyKad”.
Borang meminta butiran peribadi, sedangkan proses pengisian maklumat mengenai bantuan kerajaan lazimnya dilakukan melalui saluran rasmi seperti di portal rasmi kerajaan.
Cubaan untuk mengklik pilihan bahasa lain tidak berjaya kerana pautan itu tidak aktif.
pix6
Sebagai semakan lanjut, MyCheck mengisi maklumat borang tersebut menggunakan butiran palsu.
Kami dibawa ke satu halaman yang meminta:
Nombor OTP (One Time Password).
Kata laluan Telegram.
Maklumat perbankan seperti nombor kad pengenalan, alamat dan kata laluan bank.
MyCheck mendapati laman web berkenaan akan menerima apa-apa aksara yang ditaip bagi OTP.
pix7
Sekiranya satu-satu laman web itu sah, maka butiran palsu sedemikian sepatutnya tidak akan diterima pakai.
Jika diterima juga, maka laman web tersebut boleh diragui kesahihannya sebagai platform untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada orang ramai.
Selain itu, maklumat perbankan seperti kata laluan atau password adalah maklumat sulit yang tidak boleh dikongsi sewenang-wenangnya kepada sesiapa.
Ini kerana tindakan terbabit akan memberi akses kepada scammer untuk menceroboh masuk ke dalam akaun bank bagi melakukan transaksi haram tanpa pengetahuan mangsa.
Jelas di sini, pautan mengenai bantuan tersebut merupakan satu taktik phishing bagi memancing maklumat sulit pengguna.
Bantuan Sama Pernah Tular Pada 2024
Carian Google mendapati dakwaan itu turut tular di Facebook dan di beberapa laman web dan ada yang telah tular sejak 2024 seperti di sini, sini dan sini.
Semakan kami juga mendapati terdapat banyak makluman mengenai bantuan e-Wallet kepada golongan B40 dan M40 namun dengan jumlah berbeza, daripada RM200 hingga ke RM1,000.
Majlis Keselamatan Negara pada 26 Ogos 2024 turut memuat naik makluman mengenai mesej palsu sumbangan e-Wallet RM1,000.
Bahkan, carian kami di platform Facebook juga menemukan hantaran dimuat naik Kementerian Kewangan mengenai bantuan e-Wallet palsu.
Menurut hantaran bertarikh 4 Mei 2025 itu, Kementerian Kewangan menegaskan bahawa mesej bantuan e-Wallet RM300 yang tersebar menerusi WhatsApp adalah palsu.
Selain itu semakan kami mendapati hanya bantuan e-Wallet berjumlah RM100 pernah disalurkan kerajaan pada Disember 2023 kepada golongan B40 dan M40 berpendapatan RM100,000 ke bawah.
Anda boleh baca laporan lanjut oleh Bernama di sini.
KESIMPULAN
Mesej tular mengenai bantuan e-Wallet berjumlah RM350 adalah palsu.
Hasil semakan kami mendapati pautan yang diberikan kononnya untuk menuntut sumbangan itu adalah pautan phishing bagi mendapatkan maklumat peribadi orang ramai.
Selain itu terdapat banyak maklumat mengenai bantuan e-Wallet tular sejak 2024 melibatkan pelbagai jumlah yang kesemuanya disahkan palsu.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah