Bahasa : BM | EN

Notis Seakan-Akan Saman: Bukan Saman Polis, Bukan Juga Scammer, Tetapi Gimik Iklan Permotoran

05/06/2025 12:19 PM
By :
Zed Arjunaidi

Suntingan: Adila Ali & Shazlina Azman

SEKILAS FAKTA

  • Tular di media sosial mengenai taktik baharu scammer menyelitkan notis saman di cermin depan kenderaan yang diparkir di pusat beli-belah. Mereka yang mengimbas kod QR saman itu dikatakan akan kehilangan semua wang simpanan di dalam akaun bank.

Semakan mendapati kertas menyerupai notis saman itu sebenarnya risalah yang dibuat oleh sebuah syarikat untuk mengiklankan program permotoran mereka. Orang ramai yang mengimbas QR akan dibawa ke laman web program tersebut untuk pembelian tiket.

  • Meskipun ia hanya gimik pengiklanan, namun tindakan menggunakan notis saman palsu menyerupai dokumen rasmi polis untuk memperdaya orang ramai adalah menyalahi undang-undang dan boleh didenda atau penjara.

  • Dalam masa sama, orang ramai tetap juga diingatkan untuk tidak sewenang-wenangnya mengimbas kod QR yang tidak diketahui sumbernya serta menyerahkan data peribadi, bagi memastikan tidak terjerat dengan taktik scammer yang sentiasa berubah-ubah.

  • pix1

     

    MENGENAI DAKWAAN

    Tular di media sosial dakwaan bahawa terdapat taktik baharu scammer memperdaya mangsa dengan cara meletakkan notis saman palsu berserta kod QR pada kenderaan yang diparkir di pusat beli-belah.

    Akaun The News Malaysia memuat video di Instagram memaparkan kertas seumpama notis saman diletakkan di bahagian hadapan cermin beberapa kenderaan.

    ‘Taktik scam makin licik! Notis saman palsu lengkap dengan kod QR diletak pada kereta di pusat membeli-belah. Nampak macam real, tapi sebenarnya perangkap!

    Jangan terus scan, scam dulu dengan pihak berkuasa. #thenewsmalaysia,’ menurut kapsyen pada video tersebut.

     

    pix2

     

    APA YANG KAMI TEMUI

    Dakwaan Asal Dari Platform Threads

    MyCheck meneliti video tular dan jika diperhatikan pada akhir video tersebut, kelihatan samar-samar perkataan ‘adahohadah / Threads.

     

    pix3

     

    Lazimnya sesuatu ayat atau perkataan yang tertera pada akhir video atau informasi tular merujuk kepada sumber ia diperoleh.

    Apatah lagi tertulis perkataan Threads iaitu salah satu platform media sosial seumpama X yang kini menjadi pilihan ramai warga maya untuk berkongsi informasi dan video.

    Justeru MyCheck beralih ke Threads. Carian kami menemukan hantaran mengenai dakwaan tular dimuat naik di akaun adahohadah.

    Pengguna akaun tersebut berkongsi kepada orang ramai mengenai taktik baharu scammer yang meletakkan notis saman berserta kod QR pada kenderaan.

    Individu itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengimbas kod QR yang terdapat pada notis saman tersebut kerana ia akan menyebabkan mangsa kehilangan semua wang di dalam akaun.

    Turut dimuat naik gambar notis saman tersebut.

     

    pix4

     

    Banyak Kesalahan Ejaan Pada Notis Saman

    MyCheck membaca notis saman yang dimuat naik serta isi kandungannya.

    Notis itu, jika dilihat sekali imbas kelihatan seperti saman yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Namun apabila diteliti, terdapat banyak kesalahan ejaan yang ketara antaranya Jalan yang dieja Jalam dan Road yang dieja Raod.

    Bahkan di ruangan komen, warga maya juga perasan terhadap kesalahan ejaan itu.

     

    pix5

     

    Selain itu tarikh yang tertera pada notis saman itu tidak lengkap iaitu ‘/05/2025’ tanpa ada hari bulan.

    Tempat kesalahan pada notis saman itu juga dibiarkan kosong sedangkan ia perlu diisi bagi menjelaskan butiran kesalahan dilakukan.

     

    QR Bawa Ke Laman Sesawang

    Seterusnya pada bahagian bawah notis tersebut tertulis ayat seperti berikut:

    Nota: Dimaklumkan bahawa pemunya kereta dikehendaki hadir untuk sesi perbincangan di Sepang International Circuit dari 13/6/2025 hingga 15/6/2025. Sila can QR KOD untuk tindakan selanjutnya.

    Dipaparkan kod QR di sebelah kanan nota tersebut.

    MyCheck kemudian mengimbas QR tersebut dan ia membawa kami ke laman sesawang malf.my.

     

    pix6

     

    Bukan Scammer Curi Wang Tapi Risalah Iklan Untuk ‘Pancing’ Orang Ramai

    Pada laman sesawang itu tertera perkataan ‘ASIA LARGEST AUTO & LIFESTYLE FESTIVAL PETRONAS Sepang International Circuit 13th - 15th JUNE 2025 | 10.00AM - 10.00PM

    Di bawahnya terpapar satu kotak bertulis GET TICKETS NOW

    Kami kemudian klik pada kotak tersebut dan dipaparkan pula senarai harga untuk dipilih.

    MyCheck membuat carian mengenai ‘ASIA LARGEST AUTO & LIFESTYLE FESTIVAL dan mendapati program tersebut memang wujud.

    Memetik hantaran di Facebook Selebriti Online, ia merupakan program pertunjukan kereta, motosikal dan pelbagai lagi aktiviti yang akan berlangsung pada 13 hingga 15 Jun 2025, bertempat di Litar Antarabangsa Sepang.

    Kemasukan adalah percuma bagi pengunjung yang ingin hadir menyaksikan pertunjukkan festival automotif itu namun, tiket berbayar dikenakan bagi mereka yang ingin menyertai aktiviti yang disediakan antaranya Drift Taxi Experience dan VIP Car Entry.

    Festival automotif yang bermula 10 pagi hingga 10 malam itu juga turut membuka peluang kepada orang ramai untuk menjadi pempamer atau vendor inquiry.

    Berdasarkan semakan kami, dipercayai pihak pengurusan program telah membuat risalah iklan yang berbentuk notis saman bagi memancing orang ramai klik pada QR yang diberikan seterusnya mengetahui dan meuar-uarkan mengenai program tersebut.

     

    Risalah Iklan Berbentuk Notis Saman Polis Adalah Menyalahi Undang-Undang

    MyCheck kemudian membuat carian lanjut menerusi Google dan menggunakan kata kunci ‘notis saman hadir’ kami menemukan beberapa laporan media tempatan antaranya Sinar Harian, Berita Harian, Malaysia Gazette dan Kosmo mengenai dua lelaki didakwa di mahkamah kerana menggunakan notis saman palsu.

    Memetik Sinar Harian, dua pengurus program permotoran mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menggunakan notis ‘Saman Hadir’ palsu menyerupai dokumen rasmi polis bagi menipu orang ramai, di parkir sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang dan Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 10 dan 11 Mei 2025.

    Mengikut kedua-dua pertuduhan, dua lelaki itu didakwa bersama-sama menggunakan notis ‘Saman Hadir’ yang menyerupai notis rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM 170A) sedangkan mereka mengetahui dokumen itu palsu, dengan niat untuk menipu dan memperdayakan orang awam.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pada akhir laporan tersebut turut dinyatakan mengenai isu tular notis saman taktik scammer namun kami tidak pasti adakah dua lelaki yang didakwa itu berkait dengan isu terbabit.

    MyCheck cuba mendapatkan respons daripada penganjur permotoran terbabit namun pihak penganjur enggan memberikan sebarang komen.

     

    KESIMPULAN

    Berdasarkan semakan MyCheck, notis saman yang diletakkan pada cermin kenderaan yang diparkir di pusat beli-belah baru-baru ini sebenarnya merupakan risalah yang dibuat oleh sebuah syarikat bagi mengiklankan program permotoran.

    QR yang diletakkan di dalam risalah yang berbentuk notis saman itu jika diimbas membawa ke laman sesawang permotoran tersebut untuk pembelian tiket.

    Sungguhpun notis saman itu hanyalah strategi pengiklanan untuk memancing orang ramai klik pada QR seterusnya mengetahui mengenai program yang dianjurkan, namun tindakan terbabit adalah menyalahi undang-undang kerana menggunakan notis menyerupai dokumen rasmi polis bagi memperdaya orang ramai.

    Dalam masa sama, meskipun risalah itu bukan ‘kerja’ scammer, orang ramai tetap juga diingatkan untuk terus berwaspada daripada sewenang-wenangnya mengimbas kod QR yang tidak diketahui sumbernya, bagi memastikan tidak menjadi mangsa penipuan scammer.

    -- MYCHECK.MY --

     

    RUJUKAN

    1. Instagram | thenewsmalaysia | 14 Mei 2025

    2. Threads | Adahohadah | 14 Mei 2025

    3. malf.my

    4. Facebook | Selebriti Online | 26 Mei 2025

    5. Sinar Harian | Dua lelaki didakwa guna ‘notis saman’ palsu letak di kereta awam | 26 Mei 2025

    6. Berita Harian | Dua lelaki guna notis saman palsu didakwa di mahkamah | 26 Mei 2025

    7. Malaysia Gazette | Dua lelaki didakwa guna ‘notis saman’ palsu di parkir awam | 26 Mei 2025

    8. Kosmo | Dua lelaki didakwa selit ‘saman’ palsu | 26 Mei 2025

    x

    HUBUNGI KAMI

    Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
    Kementerian Dalam Negeri
    Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62546 Putrajaya
    Malaysia

    +603-8880 8854
    +603-8880 8829
    nsomapo[at]moha.gov.my

    Visitors 277920

    Ikut Kami