Bahasa : BM | EN

Polis, ESSCom tahan lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf di Beaufort

10/05/2021 01:53 PM

KOTA KINABALU, 10 Mei -- Polis dan anggota keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf warganegara Filipina termasuk dua yang dikehendaki pihak berkuasa negeri itu, dalam operasi khas di Taman Sri Arjuna, Beaufort, Sabtu lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata mereka ditahan bersama 29 lagi individu, semuanya warganegara Filipina, dalam operasi di kawasan paya bakau pada 3 pagi itu.

"Kita telah semak dengan pasukan keselamatan Filipina dan mereka mengesahkan lapan lelaki itu ahli kumpulan Abu Sayyaf yang melarikan diri ke Sabah hasil operasi dijalankan pasukan keselamatan Filipina di selatan negara tersebut.

"Semakan dengan pihak Filipina juga mendapati dua daripada ahli kumpulan Abu Sayyaf itu dinamakan dalam senarai orang dikehendaki kerajaan Filipina," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.

Hazani berkata siasatan awal mendapati mereka yang ditahan itu tidak terlibat dengan kegiatan menculik untuk wang tebusan di negeri ini dan dipercayai mereka mahu menjadikan Sabah sebagai tempat persembunyian.

Hazani berkata operasi itu merupakan kerjasama pihak polis, ESSCom serta pasukan keselamatan Filipina, dan mereka yang ditahan telah direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan. 

"Ketika ditahan kita menemui beberapa dokumen antaranya resit pengenalan sementara Malaysia yang dipercayai palsu… kita juga percaya mereka ada bawa senjata api dari Filipina tetapi tidak ditemui ketika ditahan, jadi kita mahu cari di mana mereka sembunyikan senjata api itu.

"Kita mahu cari siapa 'established contact' mereka di Sabah ini, berapa lama sudah berada di sini dan laluan mereka ke sini…perlu diingatkan mereka yang didapati bersekongkol boleh diambil tindakan mengikut undang-undang kerana bersubahat," katanya.

Katanya dua ahli kumpulan Abu Sayyaf yang berada dalam senarai dikehendaki Kerajaan Filipina kerana pernah terlibat dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan negara itu selain turut terbabit dalam beberapa kes penculikan warga asing di Filipina.

Hazani berkata sebagai langkah keselamatan segera, beliau telah mengarahkan semua ketua polis daerah negeri ini supaya mengenal pasti dan mengambil tindakan segera terhadap petempatan haram yang didirikan terutamanya di kawasan pedalaman serta paya bakau.

Beliau berkata polis akan berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi melaksanakan langkah itu dan hingga kini menurutnya sebanyak 624 kawasan petempatan haram telah dikenal pasti dengan lebih 90 merupakan perkampungan atas air.

"Sehubungan itu saya menggesa semua ketua kampung dan masyarakat supaya mengenal pasti penduduk kampung mereka, ada orang baharu sebagainya dan lapor pihak berkuasa jika ada mencurigakan supaya boleh kita sama-sama buat pemeriksaan.

"Majikan jangan sesuka hati ambil pekerja tanpa siasat latar belakang, dikhuatiri mereka ini bekas pengganas….kita polis Sabah juga sedang berbincang dengan ESSCom bagi mengukuhkan kawalan keselamatan terutama di laut serta mengadakan operasi cegah pendatang haram," katanya.

Beliau berkata sejak 2014 hingga tahun lepas, seramai 83 anggota kumpulan pengganas telah ditahan polis Sabah dengan bantuan pasukan keselamatan dan kebanyakan mereka ditahan di kawasan pedalaman pantai barat Sabah.

Hazani berkata mereka memilih menjadikan pantai barat barat Sabah sebagai kawasan persembunyian kerana takut dengan kawalan ketat dilakukan ESSCom di kawasan pantai timur negeri itu.

"Hanya ada dua kes sahaja ditangkap di Semporna dan di Sandakan (pantai timur) yang lain semua ditangkap di pedalaman pantai barat...kita akan perincikan balik dengan ESSCom laluan yang digunakan mereka terutama bagi penyeludupan barangan dan penyeludupan manusia," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami