KOTA BHARU, 17 Julai (Bernama) -- Lebih 100 pangkalan haram dikesan masih wujud di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan meskipun tindakan penguatkuasaan dan penutupan laluan tidak sah giat dijalankan sejak Disember lepas.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata pangkalan haram berkenaan terletak di daerah Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah yang menjadi laluan utama aktiviti rentas sempadan tanpa izin.
“Struktur geografi dan kedudukan pangkalan haram yang berhampiran penempatan awam menyebabkan ia sukar dipantau secara berterusan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata sejak 1 Jan hingga 14 Julai tahun ini, sebanyak 71 individu ditahan kerana merentas sempadan secara haram melalui Sungai Golok, melibatkan 54 lelaki dan 17 wanita dari empat negara.
Kesemua tangkapan dibuat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 melibatkan 42 rakyat Malaysia, Thailand (26), Pakistan (dua) dan seorang Myanmar.
Nik Ros Azhan berkata majoriti tangkapan dilakukan di pinggir Sungai Golok yang menjadi laluan utama penduduk kedua-dua negara untuk merentas sempadan sebelum ini.
“Meskipun arahan penutupan sudah lama dikeluarkan, masih ada yang cuba mengambil kesempatan menggunakan laluan haram tanpa memikirkan risiko keselamatan dan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata terdapat individu yang memberi alasan hanya merentas sempadan sekejap untuk membeli-belah, melawat saudara-mara atau berhibur, manakala segelintir lagi mencari pekerjaan dalam sektor tidak formal seperti pembinaan, perladangan dan restoran.
Selain itu, terdapat juga tangkapan melibatkan aktiviti penyeludupan barangan bersubsidi.
Sejak arahan penutupan jeti dan pangkalan haram dikeluarkan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat pada Dis 2024, penduduk sempadan yang mempunyai saudara-mara di negara jiran terpaksa menggunakan laluan sah menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) meskipun bagi urusan ringkas.
Tindakan itu turut menjejaskan pengendali bot di Sungai Golok kerana kekurangan pelanggan memandangkan orang ramai tidak lagi berani merentas sempadan sesuka hati.
Nik Ros Azhan berkata PGA bersama agensi keselamatan lain akan terus mempertingkatkan kawalan sempadan bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
“Mana-mana individu yang mahu berurusan di negara jiran perlu menggunakan laluan sah dan mematuhi undang-undang imigresen yang ditetapkan,” katanya.
Pada 5 Julai lepas, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dilapor berkata penguatkuasaan di sempadan negara perlu diperkasakan menerusi penugasan anggota yang lebih ramai, penambahan aset keselamatan serta kerjasama bersepadu antara semua agensi terlibat.
Beliau berkata kewujudan puluhan laluan tidak sah di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand menimbulkan kebimbangan terhadap kawalan keselamatan negara.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah