Bahasa : BM | EN

KDN lancar Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (2021-2025)

31/03/2021 06:36 PM

KUALA LUMPUR, 31 Mac -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (2021-2025) (NAPTIP 3.0) bagi membanteras  jenayah pemerdagangan manusia di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pelan berkenaan adalah dokumen strategik yang menggariskan segala perancangan dan usaha bagi membanteras pemerdagangan orang di Malaysia dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata pelan berkenaan merupakan hasil usaha sama Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) serta semua agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pertubuhan masyarakat madani dan pertubuhan antarabangsa yang telah terlibat dalam mewujudkan pelan itu.

“Kegiatan jenayah pemerdagangan orang adalah sama seperti amalan perhambaan zaman moden iaitu maruah serta hak asasi seorang manusia yang menjadi mangsa telah dinafikan dan diperlakukan secara zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Jenayah berkenaan boleh berlaku kepada semua golongan tidak kira lelaki atau wanita, orang dewasa atau kanak-kanak, status dan bangsa,” katanya  ketika  berucap  melancarkan  Pelan  Tindakan  Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (2021-2025) yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi KDN, di sini, hari ini.

Sementara itu Hamzah berkata sebanyak 1,780 kes pemerdagangan orang direkodkan sejak tahun 2015 dengan 9,594 individu diselamatkan,

Beliau berkata jumlah berkenaan terdiri daripada 8,062 wanita, lelaki (1,122), kanak-kanak perempuan 270 dan kanak-kanak lelaki 140 yang menjadi mangsa kegiatan itu.

Menurut Hamzah usaha membanteras perlakuan jenayah pemerdagangan orang adalah sesuatu yang dituntut dalam Maqasid Syariah bagi memelihara nyawa seorang manusia termasuk mengembalikan maruah dan harga diri.

“Secara keseluruhannya, dasar dan program yang digariskan dalam NAPTIP 3.0 membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan maruah dan hak asasi manusia dijunjung, dihargai dan dihormati,” katanya.

Sementara itu, Hamzah dalam satu kenyataan berkata Jawatankuasa Peringkat Tertinggi MAPO (HLC MAPO) yang dihadiri wakil-wakil daripada 21 kementerian, jabatan dan agensi terlibat telah bersidang hari ini dan dua kertas pemakluman telah dibentangkan.

Beliau berkata kertas pemakluman pertama ialah Status Tindakan Cadangan 15 Perkara Penambahbaikan berkaitan Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat Mengenai Pemerdagangan Orang dan yang kedua ialah NAPTIP 3.0.

“Melalui kertas pembentangan yang pertama, Mesyuarat HLC MAPO (Bilangan 1 Tahun 2021) mengambil maklum langkah-langkah penambahbaikan yang telah serta akan diambil bagi menambah baik reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa berhubung isu pemerdagangan orang dan penyeludupan migran. 

Tindakan tegas dan konsisten berdasarkan lunas perundangan telah diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan Jenayah Pemerdagangan Orang, Penyeludupan Migran dan Jenayah Terancang, termasuk dalam kalangan penjawat awam,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Mensyuarat HLC MAPO juga telah memperakukan NAPTIP 3.0 sebagai dokumen strategik kerajaan yang menggariskan segala perancangan serta usaha bagi membanteras pemerdagangan orang di Malaysia bagi tempoh lima tahun ke hadapan.

Beliau berkata Mesyuarat HLC MAPO juga menyeru semua pihak agar terus komited melaksanakan amalan perburuhan yang baik bagi mengelakkan daripada tindakan perundangan yang boleh menjejaskan eksport produk ke pasaran luar negara.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami