Bahasa : BM | EN

Polis selamatkan 35 wanita warga asing mangsa eksploitasi majikan

20/12/2020 06:55 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis -- Polis menyelamatkan 35 wanita warga asing, yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi kerja secara paksa oleh sebuah agensi perkhidmatan pembersihan, dalam serbuan di Melaka Tengah dan Petaling Jaya, pada 12 Nov lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata seramai 32 warganegara Indonesia dan seorang warga Kemboja diselamatkan di Melaka manakala dua rakyat Indonesia diselamatkan di Selangor menerusi serbuan yang dilakukan.

Beliau berkata menerusi lima serbuan di Melaka dan satu serbuan di Selangor, mangsa didapati dikurung dalam rumah dan pergerakan mereka dikawal serta tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit.

“Mangsa yang berusia lingkungan 18 hingga 40 tahun mengaku bekerja sebagai tukang cuci dengan melakukan kerja dari rumah ke rumah di sekitar Melaka sejak 2018 sehingga sekarang, dengan gaji RM900 hingga RM1,200 sebulan tetapi tidak menerimanya seperti dijanjikan.

“Ketika serbuan, polis menahan tiga wanita warganegara tempatan berusia lingkungan 33 hingga 42 tahun dipercayai majikan mangsa dan seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Huzir berkata tiga suspek wanita warganegara tempatan berkenaan akan menghadapi 35 pertuduhan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007  (ATIPSOM) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Suspek lelaki warganegara tempatan yang merupakan rakan subahat juga akan dituduh mengikut Seksyen 12 ATIPSOM dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Melaka Tengah esok, manakala semua mangsa yang diselamatkan kini ditempatkan di rumah perlindungan.

-- BERNAMA

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami