KOTA BHARU, 22 Nov (Bernama) -- Budaya longgar dalam kawalan sempadan negara, termasuk individu dibenarkan masuk melalui laluan khas Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dengan hanya mengangkat tangan tanpa dokumen sah, dilihat amat membimbangkan kerana ia boleh membuka ruang kepada kegiatan jenayah, penyeludupan dan ancaman keselamatan negara.
Penganalisis Jenayah Shahul Hamid Abdul Rahim berpandangan perkara itu bukan sahaja melanggar prosedur, malah melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) berkaitan kawalan kemasukan, tinggal dan keluar negara dan juga Akta Pasport 1966 (Akta 150) mengawal urusan pemilikan dan pengemukaan pasport dan dokumen perjalanan bagi individu memasuki atau meninggalkan Malaysia.
Beliau berkata berkata laporan berkaitan kelemahan kawalan di pintu masuk antarabangsa, menunjukkan wujud kerentanan nyata dalam sistem keselamatan negara.
“Jika benar individu boleh keluar masuk tanpa pemeriksaan dan catatan rasmi, ini bukan sekadar pelanggaran prosedur, tetapi boleh menjejaskan integriti institusi keselamatan dan membuka ruang kepada pihak tidak diingini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Shahul Hamid berkata sempadan negara bukan sekadar garisan geografi, tetapi benteng utama pertahanan negara yang mesti dikawal secara tegas dan berintegriti.
“Amalan longgar seperti sekadar mengangkat tangan tidak boleh diteruskan. Setiap individu mesti diperiksa, pasport diperiksa dan direkodkan keluar masuk secara rasmi,” katanya.
Beliau turut menekankan kemungkinan wujud elemen rasuah, kecuaian pegawai atau sindiket dalaman yang memanfaatkan kelemahan kawalan.
Berdasarkan pengalaman beliau, kelemahan seperti ini biasanya berpunca daripada gabungan tiga faktor utama iaitu rasuah, kecuaian dan wujudnya rangkaian dalaman yang melindungi kegiatan mereka.
Sehubungan itu, Shahul Hamid mencadangkan agar kerajaan menjalankan audit forensik operasi dan integriti dalaman ke atas semua kompleks ICQS di seluruh negara bagi menutup ruang kelemahan yang wujud.
“Audit ini bukan untuk menghukum, tetapi bagi memulihkan keyakinan awam dan memastikan sistem sempadan tidak lagi mudah dieksploitasi,” katanya.
Beliau berkata kelemahan yang dibiarkan boleh membawa risiko besar seperti penyeludupan manusia dan data, pergerakan pengganas atau agen asing tanpa pengesanan rasmi, serta kehilangan keyakinan rakan keselamatan antarabangsa seperti Interpol dan ASEANAPOL.
“Jika keluar masuk negara boleh berlaku tanpa rekod, bagaimana kita mahu pastikan siapa yang berada dalam sempadan kita?. Apabila insiden seperti ini berlaku, rakyat akan mempersoalkan tahap keselamatan mereka. Untuk memulihkan keyakinan, kerajaan mesti bertindak tegas dan menghasilkan hasil yang nyata, bukan sekadar kenyataan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penggunaan teknologi biometrik dan pengimbas pintar, pemantauan kamera litar tertutup menyeluruh serta sistem pemantauan masa nyata (real-time surveillance).
"Rotation pegawai juga perlu dilaksanakan bagi mengelak hubungan jangka panjang yang boleh dieksploitasi, manakala pengawasan berpusat penting untuk mengesan kelemahan lebih awal," katanya.
Shahul Hamid berkata kelemahan sistem ini menggambarkan kegagalan kawalan berganda (multi-layer security control), di mana pemantauan dan prosedur tidak cukup berkesan untuk menghalang pelanggaran.
“Malaysia perlu memperkukuh sistem kawalan, membina integriti pegawai dan menggunakan teknologi untuk menutup ruang kelemahan yang masih wujud,” katanya.
Senada dengan perkara itu, Penganalisis Jenayah Kamal Affandi Hashim berkata beliau memandang serius perilaku itu, kerana ia bukan sahaja menjejaskan kedaulatan negara, bahkan memberi risiko keselamatan yang besar.
Beliau berkata budaya mengangkat angkat boleh menjadi ancaman jika individu itu sebenarnya melarikan diri, menjadi buruan atau mempunyai kaitan dengan jenayah
“Jika kelakuan itu dilakukan oleh penjawat awam yang bertugas di kompleks ICQS, mereka seharusnya tegas dan lebih sensitif terhadap kedaulatan negara dan rakyat kita sendiri.
“Kita bercakap soal keselamatan negara...Rupa bentuk fizikal rakyat Malaysia yang tinggal berhampiran sempadan hampir menyerupai penduduk negara jiran, sekali gus memudahkan individu tertentu menyelinap masuk atau keluar tanpa disedari,” katanya.
Kamal Affandi berkata orang awam termasuk pihak berkuasa yang bertugas di sempadan negara, perlu masuk ikut saluran rasmi.
Beliau berkata ada rakyat Malaysia lain tidak mampu memiliki pasport atau pas sempadan kerana kosnya, tetapi itu bukan alasan untuk melepasi sempadan tanpa rekod.
“Budaya mengangkat angkat di kompleks ICQS untuk menyeberang sempadan Malaysia-Thailand merupakan budaya lama dan mendorong sesetengah pihak menggunakan kaedah ‘melambai’ untuk memasuki kawasan tertentu tanpa pemeriksaan, termasuk berurusan jual beli barang bersubsidi.
“Kita tidak tahu apa tujuan mereka. Barang kecil dari negara kita dibawa ke seberang dan dijual. Apa pun, keluar masuk perlu direkodkan. Kenapa tujuan keluar masuk tidak direkodkan sedangkan kita sudah ada sistem pas sempadan?” katanya.
Mengulas dakwaan bahawa faktor jarak atau tinggal di kawasan sempadan menjadi alasan tidak menggunakan pas sempadan, beliau berkata alasan berkenaan tidak boleh diterima.
“Kalau berlaku tragedi, contohnya insiden tembak-menembak di selatan Thailand yang melibatkan rakyat kita, bagaimana konsulat Malaysia kita boleh berikan bantuan? Jika konsulat pun tidak tahu rakyat kita ada di sana?. Hanya kerana tiada rekod keluar masuk sempadan,” katanya.
Pada 7 Nov lepas, media melaporkan polis menahan lapan individu termasuk seorang penjawat awam di Kompleks ICQS Rantau Panjang, Pasir Mas kerana menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand tanpa dokumen perjalanan sah, dengan hanya mengangkat tangan ketika melalui ICQS berkenaan.
Kesemua mereka yang menaiki dua buah kereta mewah ditahan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia yang bertugas di kompleks itu ketika dalam perjalanan dari Sungai Golok, Thailand untuk memasuki Kelantan pada 5.30 petang.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah