Bahasa : BM | EN

PGA Briged Tengah Rampas 89 Kg Syabu Bernilai RM4.4 Juta 

25/05/2026 05:01 PM

KUALA LANGAT, 25 Mei (Bernama) -- Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua individu serta merampas 89 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM4.4 juta dalam serbuan di pesisiran pantai Paip Besar, Tanjung Sepat dekat sini pada Sabtu lepas. 

Komander Briged Tengah PGA SAC Hakemal Hawari berkata dua lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an itu ditahan sekitar 11.30 pagi ketika dipercayai sedang menunggu bot digunakan pendatang asing untuk bergerak ke luar negara. 

“Kita jumpa mereka ini (ketika) sedang menunggu di sebalik semak selain siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui sama ada negara ini dijadikan sebagai transit ataupun dadah itu diproses di sini,” katanya pada sidang media Ops Taring Nyah Selangor di sini hari ini. 

Hakemal berkata kedua-dua suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata pihaknya turut merampas satu telefon bimbit disyaki digunakan dalam kegiatan penyeludupan tersebut dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Imigresen 1959/63. 

Sementara itu, Hakemal berkata setakat hari ini sebanyak 179 serbuan telah dijalankan di kawasan Briged Tengah dan 611 individu berjaya ditahan melibatkan pelbagai jenis kesalahan dengan nilai keseluruhan rampasan RM254 juta. 

-- BERNAMA 

 

 


 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami