GEORGE TOWN, 23 April (Bernama) -- Malaysia terus berdepan cabaran sebagai negara transit dadah antarabangsa dengan bahan terlarang dipercayai diseludup dari kawasan “segi tiga emas” melalui laluan utara Semenanjung sebelum diedarkan ke destinasi lain.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kedudukan Malaysia yang strategik dan berdekatan dengan kawasan terbabit menjadikan ia antara laluan penting sindiket antarabangsa.
“Malaysia sejak dahulu adalah negara transit dadah yang dihasilkan daripada “Golden Triangle” (kawasan segi tiga emas) masuk ke utara Semenanjung. Kita bukan negara pengeluar tetapi negara transit dan ada juga sebilangan kecil (dadah) itu digunakan dalam negara.
“Berdasarkan statistik, nilai rampasan dadah dan racun adalah berjumlah RM3.1 bilion dengan RM915 juta dadah telah dirampas untuk tahun ini sahaja setakat Mac lepas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Perdana Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam Pulau Pinang (CCPSS) di sini hari ini.
Beliau berkata tindakan membanteras sindiket dadah dilaksanakan secara berterusan melalui pelbagai operasi, sekali gus mencerminkan komitmen polis dalam mengekang kegiatan sindiket yang masih aktif menjadikan Malaysia sebagai negara transit.
Ayob Khan berkata di kawasan utara Semenanjung, laluan utama digunakan sindiket ialah melalui laut dan darat manakala Sabah dan Sarawak pula melibatkan laluan laut serta udara, termasuk tangkapan yang dibuat di lapangan terbang.
Mengakui sempadan negara sukar dikawal sepenuhnya, beliau berkata justeru, kebergantungan terhadap risikan amat penting dalam membanteras kegiatan berkenaan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata polis menjalin kerjasama rapat dengan agensi antidadah di negara jiran bagi memperkukuh usaha membanteras penyeludupan dadah rentas sempadan.
Selain itu, beliau berkata pendekatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terus diperkukuh bagi membolehkan tindakan diambil terhadap keseluruhan rangkaian sindiket pengedaran dadah.
“Sama ada ketua sindiket, penghantar atau pihak yang memproses dadah, semuanya akan diambil tindakan di bawah pendekatan jenayah terancang supaya keseluruhan sindiket dapat ditumpaskan dan memberi impak lebih besar,” katanya.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah