Bahasa : BM | EN

JKDM Labuan Rampas Minuman Keras Bernilai Hampir RM1 Juta

21/04/2026 03:43 PM

LABUAN, 21 April (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan merampas minuman keras dianggarkan bernilai hampir RM1 juta dalam satu operasi di Pelabuhan Labuan di sini.

Pengarah Kastam Labuan Aspalila Ag Tuah berkata rampasan itu dilakukan oleh pasukan operasi penguatkuasaan jabatan berkenaan yang dijalankan pada kira-kira 10 pagi, 17 Mac lepas.

“Pemeriksaan itu membawa kepada rampasan tiga kontena 20 kaki yang didapati mengandungi minuman beralkohol bernilai RM343,400, melibatkan duti dan cukai tidak dibayar berjumlah RM948,168.61 yang diimport oleh sebuah syarikat yang memiliki lesen import sah.

“Siasatan awal mendapati syarikat itu mempunyai lesen import yang diluluskan oleh JKDM Labuan bagi tempoh 20 Mac 2025 hingga 19 Mac 2026, dengan kuota yang dibenarkan sebanyak 250,000 liter.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati syarikat berkenaan telah melebihi kuota diluluskan dengan mengimport tambahan 52,746.24 liter minuman keras,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Aspalila berkata pengimportan minuman keras memerlukan lesen dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Peraturan 42(1) Peraturan-Peraturan Kastam 2019.

Beliau berkata modus operandi syarikat berkenaan ialah mengisytiharkan barangan melalui dua Borang Kastam No. 1 selain pengangkutan minuman keras itu menggunakan tiga kontena berasingan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 138 Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami