Bahasa : BM | EN

PGA Tumpas Sindiket Seludup Migran Di Tumpat, 12 Individu Termasuk Tonto Ditahan

19/04/2026 10:39 PM

KOTA BHARU, 19 April (Bernama) -- Polis menahan 12 individu termasuk dua wanita tempatan dan sembilan warga asing dalam operasi bersepadu membanteras penyeludupan migran di Tumpat semalam.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Ahmad Radzi Hussain dalam kenyataan hari ini berkata Ops Taring Wawasan Kelantan kira-kira 5 pagi itu dijalankan hasil risikan dan membawa kepada penahanan semua suspek di sebuah premis di Bandar Baru Pasir Pekan, Wakaf Bharu.

Beliau berkata sepasukan anggota Batalion 9 PGA bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat terlebih dahulu mengesan sebuah kenderaan mencurigakan di belakang premis berkenaan sebelum membuat pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati tujuh lelaki warga Bangladesh memiliki pasport tetapi tidak mempunyai pas lawatan sah manakala dua lelaki warga Myanmar gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan.

“Kesemua warga asing terbabit dipercayai memasuki negara ini menerusi laluan tidak diwartakan dari Thailand,” katanya.

Ahmad Radzi berkata turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang disyaki bertindak sebagai penghantar migran, selain dua wanita tempatan berusia 18 dan 17 tahun, dengan seorang daripadanya dipercayai berperanan sebagai tonto.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki tempatan itu positif dadah dan menerima bayaran RM100 bagi setiap migran dihantar manakala wanita terbabit memperoleh kira-kira RM150 bagi memantau pergerakan pihak berkuasa.

“Polis turut merampas sebuah kereta Proton Iswara Aeroback dan motosikal Yamaha Y15ZR dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM17,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan semua suspek serta rampasan diserahkan kepada BSJD IPD Tumpat untuk tindakan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami