KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Singapura memperkukuh kerjasama keselamatan rentas sempadan menerusi penganjuran kali pertama Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama (JWC) Malaysia-Singapura mengenai Kerjasama dalam Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan hari ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah itu dihoskan kementerian dan dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha KDN Datuk Dr Awang Alik Jeman dan Setiausaha Tetap (Pembangunan Ehwal Dalam Negeri), Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura Tan Chye Hee.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat diadakan di bawah kerangka pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) Malaysia-Singapura bagi Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan yang ditandatangani di Singapura pada 14 Nov 2024 oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura K. Shanmugam.
Sehubungan itu, skop perbincangan antara KDN dengan MHA tertumpu pada kerjasama dalam pelbagai aspek merangkumi penyeludupan haram dadah dan bahan psikotropik, keganasan, jenayah siber dan penipuan (termasuk penipuan siber) serta keselamatan sempadan.
"Secara keseluruhan, KDN dan MHA bersetuju memperkasakan usaha membanteras jenayah rentas sempadan antaranya melalui pertukaran risikan dan maklumat antara pihak berkuasa, perkongsian pengalaman dan amalan terbaik serta penggunaan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI)," menurut kenyataan itu.
Selain itu, kedua-dua pihak juga bersetuju mengukuhkan kerjasama di peringkat ASEAN melalui Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) dan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC).
Mesyuarat itu juga mencerminkan tanggungjawab bersama kedua-dua negara jiran dalam memperkukuh rangka keselamatan rentas sempadan dan serantau, selaras komitmen yang dizahirkan Perdana Menteri kedua-dua negara semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 di Putrajaya pada Januari lepas.
“Malaysia dan Singapura berkongsi matlamat yang sama untuk menjamin kestabilan, keamanan dan keharmonian rakyat. Kerjasama melalui mesyuarat ini juga melambangkan kepercayaan strategik antara dua jiran yang telah terbukti kukuh dan berdaya tahan,” menurut kenyataan itu.
KDN memaklumkan mesyuarat berkenaan akan menjadi asas kepada pengukuhan kerjasama berterusan antara kementerian berkenaan dengan MHA bagi memantau kemajuan program yang disepakati dalam MoU, selaras dengan visi Malaysia MADANI, pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta keutamaan ASEAN dalam membentuk rantau yang selamat, makmur dan berdaya saing.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah