Bahasa : BM | EN

Cabaran Yang Menunggu Asean Selepas Iktiraf Alam Sekitar Hak Asasi Manusia,

08/11/2025 03:09 AM
By :
Nina Muslim

Selepas tiga tahun berunding, negara anggota menerima guna satu deklarasi bersejarah semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini pada 26 Okt lalu, mengiktiraf alam sekitar yang selamat, bersih, sihat dan lestari sebagai hak asasi manusia. 

Deklarasi itu merangkumi usaha mempromosikan undang-undang alam sekitar pelbagai hala, pendidikan dan akses awam kepada maklumat serta meningkatkan perlindungan sama rata bagi kumpulan rentan seperti masyarakat Orang Asli terhadap pelanggaran hak asasi manusia. Ia juga “amat” menggalakkan perniagaan untuk mengamalkan model pembangunan mampan dan menyeru negara anggota ASEAN supaya mempertingkat kerjasama sesama sendiri.

Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bertanggungjawab untuk membangunkan pelan tindakan serantau.


ASEAN Foreign Ministers' Interface Meeting with the ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights (AICHR) Representatives at the Kuala Lumpur Convention Centre in July after discussing ASEAN peoples' right to a safe and clean environment. --fotoBERNAMA (2025) COPYRIGHT RESERVED

Walaupun deklarasi itu dipuji, kumpulan aktivis alam sekitar mengkritik perisytiharan tersebut sebagai tidak cukup menyeluruh. Dalam kenyataan medianya, Greenpeace Asia Tenggara (GPSEA) menyifatkan deklarasi itu sebagai “terlalu lewat,” sambil menambah ia masih belum lengkap kerana tidak ada obligasi jelas, sasaran yang boleh diukur serta mekanisme penguatkuasaan.

Kumpulan itu juga mengkritik deklarasi tersebut kerana tidak menyentuh aspek tanggungjawab sosial korporat untuk melindungi hak alam sekitar rakyat serta keperluan menangani  cabaran alam sekitar rentas sempadan di rantau ini.

Institut Penyelidikan Asia untuk Undang-undang Alam Sekitar – pertubuhan yang memayungi organisasi alam sekitar di rantau ini – memuji ASEAN kerana menyertakan masyarakat/Orang Asal dalam kenyataannya, namun berpendapat deklarasi itu tidak mengandungi bahasa yang tegas untuk menangani keperluan mendesak bagi melindungi alam sekitar dan para pembelanya.

“Kekuatan sebenar deklarasi ini tidak ditentukan oleh tulisan di atas kertas, tetapi menerusi cara setiap negara anggota menterjemahkan komitmen itu kepada tindakan konkrit dan boleh diukur,” kata Raynaldo G. Sembiring, Pengarah Pusat Undang-undang Alam Sekitar Indonesia.

 

CABARAN SERANTAU 

Negara-negara di Asia Tenggara yang juga anggota ASEAN, kaya dengan kepelbagaian biologi dan sumber semula jadi, termasuk flora dan fauna yang unik. Tiga anggota ASEAN, iaitu Malaysia, Indonesia dan Filipina, tergolong dalam 17 negara mega biodiversiti dunia.

Namun, kini kekayaan itu terancam akibat pembangunan berlebihan, seiring dengan kedudukan ASEAN sebagai ekonomi sedang pesat membangun -  kini merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia dan dijangka naik ke tangga keempat menjelang 2030.

Cabaran alam sekitar lain di rantau ini ialah pencemaran rentas sempadan seperti jerebu, sisa plastik di lautan dan penyeludupan hidupan liar.


Edmund Bon, chair of the ASEAN Intergovernmental Commission on Human Rights (AICHR). --Credit: Nina Muslim/BERNAMA

Pengerusi AICHR Edmund Bon memberitahu Bernama bahawa sebahagian besar kritikan tertumpu pada ciri deklarasi yang tidak mengikat secara undang-undang, bermaksud negara anggota tidak diwajibkan dari segi perundangan untuk mengambil tindakan yang selari dengan deklarasi tersebut.

Namun ini tidak bermakna deklarasi itu tidak ada “kuasa”.

“Hanya kerana ia tidak mengikat secara perundangan, tidak bermaksud ia bukan satu kewajipan yang telah dipersetujui dan boleh dikuatkuasakan,” katanya.

Beliau memetik kes mahkamah di Malaysia menerima dan merujuk Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN yang diluluskan pada 2012 dalam membuat keputusan. Sekalipun deklarasi itu bukan undang-undang, ia dianggap “undang-undang lembut” (instrumen tidak mengikat) yang boleh dijadikan rujukan dalam penghakiman. 

“Jadi, apabila kita bercakap tentang plastik, tentang jerebu, perincian tentang isu-isu ini akan dimasukkan dalam pelan tindakan,” jelasnya.

“Kita boleh gunakan deklarasi ini untuk menyatakan ‘isu ini menjejaskan negara lain, dan deklarasi ini yang telah diiktiraf oleh semua negara anggota, menyatakan kita harus menghentikannya’.”

Bon menambah negara anggota, pertubuhan sivil serta komuniti  boleh menggunakan deklarasi tersebut sebagai kerangka bagi advokasi dan pelaksanaan di peringkat nasional.

 

PELAN KEBANGSAAN 

Untuk melaksanakannya, setiap negara perlu mempunyai undang-undang sendiri bagi menangani jenayah alam sekitar rentas sempadan, yang membenarkan pihak dari sesebuah negara mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak di negara lain, seperti yang dilakukan Singapura. 

Negara itu telah meluluskan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014 bagi menangani masalah jerebu yang berpunca dari luar negara. Di bawah akta itu, pihak yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda hingga S$2 juta.

Pada 2015, kerajaan Singapura mengeluarkan notis kepada sebuah syarikat tersenarai di negara itu agar menyerahkan maklumat mengenai anak syarikatnya yang beroperasi di Indonesia, yang disyaki melakukan pembakaran hutan secara haram bagi tujuan pembukaan tanah. Notis itu turut menuntut syarikat berkenaan memadamkan kebakaran sedia ada, tidak memulakan pembakaran baharu serta mengemukakan pelan pencegahan.


Subang Member of Parliament Wong Chen published a paper on the cost of statelessness in 2019. In it, he estimated Malaysia lost RM6 billion in revenue in 2018 because they are underemployed and underpaid. --fotoBERNAMA (2024) COPYRIGHT RESERVED

Ahli Parlimen merangkap aktivis hak asasi manusia Wong Chen berkata Malaysia wajar mencontohi langkah yang diambil Singapura.

“Saya rasa mekanisme terbaik ialah apa yang sedang dilakukan oleh Singapura. Namun, saya tidak boleh nak kata Malaysia akan ambil langkah serupa,” katanya kepada Bernama menerusi Google Meet. “Apapun, saya rasa kita patut buat perkara sama.”

Pengerusi bersama Rangkaian Ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia (APHR) Charles Santiago bersetuju, dan menambah bahawa perlu ada mekanisme untuk memantau pelaku pencemaran alam sekitar terbesar, bukan hanya berkaitan jerebu tetapi juga sisa buangan. 

Negara-negara ASEAN termasuk Filipina dan Malaysia dikenali sebagai penyumbang utama sisa plastik di lautan.

“Pihak berkepentingan yang selalunya menjadi penyumbang terbesar kepada udara dan persekitaran tidak sihat sebenarnya ialah ladang dan kilang-kilang,” kata Santiago.

“Jadi, kita perlu ada satu protokol pemantauan dan pelan kukuh yang memastikan syarikat, sama ada berpangkalan di Malaysia, Singapura, Thailand atau Indonesia, mempunyai sistem kitar semula dan kawalan pencemaran yang berkesan, termasuk dalam isu  jerebu dan lain-lain,” tambahnya.

Tegas beliau kerajaan perlu mengadakan undang-undang bagi merealisasikan perkara yang digariskan dalam deklarasi tersebut, yang boleh dilakukan dengan meminda akta sedia ada ataupun menggubal yang baharu. 

“Kena ada undang-undang tempatan. Jika tidak, pemantauan dan penguatkuasaan tidak dapat dilakukan, dan tanpa pemantauan, penguatkuasaan serta hukuman, maka tiada apa yang boleh dilakukan,” katanya.


Charles Santiago, co-chair of ASEAN Parliamentarians on Human Rights (APHR). File pic. --fotoBERNAMA (2025) COPYRIGHT RESERVED

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami