KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah meminta penjelasan rasmi daripada pihak TikTok susulan laporan media mengenai penggunaan platform itu bagi merekrut individu untuk aktiviti penyeludupan dadah ke luar negara.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan permintaan itu berhubung mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan dalaman mereka terhadap kandungan atau iklan yang disyaki digunakan bagi tujuan jenayah, termasuk tawaran kerja palsu yang berpotensi memperdaya pengguna.
"Sebarang penyalahgunaan platform dalam talian untuk merekrut atau memperdaya pengguna bagi kegiatan jenayah melalui penyebaran kandungan palsu merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” menurut kenyataan itu hari ini.
MCMC memaklumkan selain itu, Seksyen 263(1) akta sama memperuntukkan bahawa setiap pemegang lesen bertanggungjawab mengambil langkah terbaik bagi memastikan rangkaian atau perkhidmatan di bawah kawalannya tidak digunakan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang Malaysia.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada terhadap sebarang tawaran kerja mudah di media sosial, terutamanya yang melibatkan penghantaran barangan atau bagasi ke luar negara. Tawaran seperti ini sering digunakan oleh sindiket untuk memperdaya mangsa menjadi ‘keldai dadah’,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan akan terus bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memperkukuh pemantauan serta meningkatkan kesedaran awam terhadap risiko penyalahgunaan media sosial bagi kegiatan jenayah rentas sempadan.
Semalam, Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mendedahkan pihaknya menggagalkan cubaan empat warga tempatan menyeludup dadah jenis ganja seberat 86 kilogram bernilai hampir RM8.3 juta ke Manchester, United Kingdom melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 3 Nov lepas.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati semua suspek, iaitu dua pasangan lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an dari Johor mengaku menerima tawaran pekerjaan melalui aplikasi TikTok untuk membawa barangan sambil melancong dengan bayaran antara RM8,000 hingga RM11,000.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah