PASIR MAS, 28 Okt (Bernama) -- Kesemua 223 jeti haram termasuk jeti milik persendirian yang menjadi laluan kegiatan penyeludupan di sepanjang Sungai Golok dijangka dirobohkan sepenuhnya dalam tempoh dua bulan menerusi projek rintis yang bermula hari ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata projek itu menjadi langkah awal ke arah melaksanakan perubahan menyeluruh terhadap kawalan keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, khususnya di Kelantan.
Beliau berkata dua lokasi pertama yang terlibat dalam fasa awal perobohan ialah Pangkalan Gergaji dan Pangkalan MCA di Rantau Panjang melibatkan jeti-jeti haram dibina di atas tanah kerajaan.
Menurut Mohd Yusoff, daripada jumlah keseluruhan itu, 216 adalah jeti haram yang didirikan di atas tanah kerajaan negeri, manakala tujuh lagi jeti milik persendirian di sepanjang Sungai Golok, bermula dari Pengkalan Kubor hingga ke Tanah Merah.
“Kerja-kerja perobohan akan dijalankan secara berperingkat kerana kekangan jumlah jentera dan dijangka siap dalam tempoh antara satu hingga dua bulan.
“Kami buat berdasarkan keupayaan jentera yang ada. Bila satu lokasi selesai, kami akan teruskan ke lokasi berikutnya sehingga semua jeti haram dirobohkan,” katanya selepas meninjau operasi rintis perobohan pangkalan haram di Rantau Panjang hari ini.
Mohd Yusoff berkata bagi tujuh jeti yang dibina di atas tanah milik individu, tindakan diambil selepas semakan dan proses perundangan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata operasi itu adalah hasil perancangan hampir setahun, yang turut melibatkan sesi libat urus bersama masyarakat tempatan di sepanjang Sungai Golok bagi memberi penerangan mengenai tujuan sebenar perobohan itu.
“Alhamdulillah, selepas diberi pemakluman, masyarakat kini memahami hasrat kerajaan untuk menangani kegiatan jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dadah, senjata api, petrol dan diesel ke negara jiran,” katanya.
Beliau juga yakin tindakan itu akan memberi impak besar terhadap usaha mengekang penyeludupan selepas pintu sempadan ditutup sejak 1 Dis tahun lepas.
“Kami sudah lihat sebelum ini, apabila kawasan sempadan dikawal ketat, aktiviti penyeludupan menurun dengan ketara. Jadi, apabila jeti haram ini dihapuskan, laluan tikus juga semakin sukar digunakan,” katanya.
Mohd Yusoff berkata sepanjang tempoh perobohan, operasi akan dipantau oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan dan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran kerja di tapak.
“Saya harap semua pihak memberikan kerjasama kerana ini adalah usaha untuk kesejahteraan, keamanan dan keselamatan rakyat di kawasan sempadan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Kelantan Datuk Nik Raisnan Daud berkata pihaknya akan mengadakan rundingan dengan tujuh pemilik tanah persendirian yang mempunyai jeti haram.
“Kami akan membuat rundingan secara berperingkat bagi memastikan kerja-kerja perobohan jeti haram berjalan lancar,” katanya.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah