Suntingan: Adila Ali & Shazlina Azman
SEKILAS FAKTA
Tular dakwaan bahawa Kementerian Komunikasi menghubungi orang awam kerana dikatakan telah melakukan pelbagai kesalahan berkaitan penyebaran maklumat palsu.
Semakan MyCheck mendapati panggilan itu sebenarnya bukan daripada Kementerian Komunikasi. Ia adalah panggilan palsu daripada individu yang menyamar sebagai wakil kementerian itu dan telah berlaku sejak 2022.
Scammer juga menggunakan maklumat pegawai seperti jawatan, nama penuh dan nombor telefon yang tertera di laman web kementerian bagi tujuan memperdayakan orang ramai.
Kementerian Komunikasi mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap panggilan palsu yang menggunakan nama kementerian itu dan membuat laporan kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 dalam tempoh 24 jam, jika disyaki terdapat unsur penipuan.
pix1
MENGENAI DAKWAAN
MyCheck menerima pertanyaan menerusi WhatsApp daripada orang awam berhubung kesahihan panggilan telefon daripada Kementerian Komunikasi.
Menurut pengirim mesej itu, ramai netizen di media sosial berkongsi pengalaman menerima panggilan yang dikatakan daripada Kementerian Komunikasi.
pix2
APA YANG KAMI TEMUI
Nombor Akan Disekat Kerana Sebar Berita Palsu
MyCheck menatal platform media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram dan Threads.
Terdapat banyak hantaran terutamanya di Facebook antaranya anda boleh lihat di sini, sini dan sini serta di platform Threads seperti di sini dan sini mengenai panggilan daripada Kementerian Komunikasi.
Berdasarkan hantaran yang dikongsi orang ramai, individu yang membuat panggilan itu mendakwa mereka adalah pegawai daripada kementerian.
‘Pegawai’ itu memaklumkan kepada pemanggil bahawa nombor pemanggil akan disekat kerana telah menyebarkan berita atau hantaran palsu.
pix3
Kementerian Komunikasi Sahkan Panggilan Adalah Palsu
Kami kemudian beralih ke media sosial rasmi Kementerian Komunikasi.
Dalam membuat semakan fakta, carian di akaun media sosial adalah langkah awal dan paling mudah untuk mendapatkan sesuatu maklumat sahih.
Ini kerana media sosial kini platform pilihan untuk kebanyakan pihak termasuk menjadi sebahagian daripada saluran komunikasi kerajaan dalam menyalurkan maklumat dan pengumuman terkini kepada rakyat.
Carian kami menemukan hantaran mengenai amaran panggilan palsu menggunakan nama Kementerian Komunikasi.
Menurut hantaran bertarikh 24 Jan 2025 itu, Kementerian Komunikasi mengingatkan orang ramai untuk berwaspada terhadap panggilan palsu yang menyamar sebagai wakil kementerian itu.
“Semak kesahihan sebelum memberikan maklumat peribadi dan laporkan kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 dalam tempoh 24 jam, sekiranya disyaki terdapat unsur-unsur penipuan, menurut hantaran itu.
pix4
Tular Sejak 2022
Semakan lanjut MyCheck di akaun Facebook Kementerian Komunikasi itu juga mendapati isu mengenai panggilan palsu ini telah berlaku sejak 2022.
Kementerian Komunikasi telah memuat naik beberapa hantaran peringatan di Facebook pada 7 Ogos 2022, 9 Jan 2024 dan 18 April 2024.
pix5
Selain itu video penerangan turut dimuat naik di TikTok komunikasi_gov pada 15 Jan 2024.
Scammer Guna Taktik ‘Masking’
MyCheck turut menemukan kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching pada 2024 mengenai taktik scammer yang menggunakan nama Kementerian Komunikasi.
Menurut Teo menerusi laporan Harian Metro, scammer didapati menggunakan maklumat pegawai seperti jawatan, nama penuh dan nombor telefon yang tertera di laman sesawang kementerian bagi tujuan memperdayakan orang ramai.
Teo berkata maklumat pegawai kementerian yang mudah diperoleh menerusi laman sesawang itu dijadikan samaran pihak sindiket untuk melakukan penipuan.
"Cabaran yang kita hadapi adalah untuk mengesan mereka apabila menggunakan taktik 'masking', panggilan telefon yang dibuat akan tertera nombor pejabat yang menjadi penyamaran walaupun panggilan tidak dibuat dari pejabat itu," katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terjerat dengan penyamaran yang dilakukan.
Panduan Kenali Panggilan Palsu
Duta Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rahmat Fitri Abdullah ada berkongsi bagaimana seseorang itu boleh mengesan sekiranya panggilan yang diterima itu adalah palsu.
Menurut Rahmat Fitri menerusi video yang dimuat naik di TikTok Rahmat Fitri Lawan Scammer, ada empat panduan yang boleh dikenal pasti iaitu:
Menerima panggilan yang menggunakan mesin operator atau komputer.
Pemanggil bertanyakan nama dan kad pengenalan mangsa.
Panggilan bersambung ke pelbagai agensi lain.
Pemanggil mendakwa anda terlibat dengan apa-apa kesalahan yang anda tidak lakukan.
KESIMPULAN
Panggilan telefon yang diterima orang ramai kononnya daripada wakil atau pegawai daripada Kementerian Komunikasi adalah panggilan palsu.
Panggilan tersebut adalah taktik penyamaran scammer untuk memperdaya mangsa.
Semak kesahihan sebarang panggilan yang diterima sebelum memberikan maklumat peribadi.
Sekiranya disyaki terdapat unsur-unsur penipuan, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsan (NSRC) melalui talian 997 dalam tempoh 24 jam.
-- MYCHECK.MY --
RUJUKAN
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah