(membetulkan tarikh TikTok dipanggil Bukit Aman pada tajuk, intro dan take 1 perenggan 4)
KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Pihak pengurusan tertinggi platform media sosial TikTok dipanggil ke Bukit Aman Khamis ini (4 Sept) berikutan kelewatan syarikat itu memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu penyebaran berita palsu di platform terbabit.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata isu berkenaan termasuk yang tular baru-baru ini melibatkan hantaran individu yang mendakwa dirinya sebagai pakar bedah dalam kes Zara Qairina Mahathir.
"Pihak TikTok sangat lambat memberikan maklumat kepada PDRM sehingga saya terpaksa menelefon CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) TikTok sendiri Shou Zi Chew untuk maklumkan, perkara ini adalah jenayah yang telah dilakukan dan organisasi anda sangat lambat.
"Sikap itu tidak boleh kami biarkan dan insya-Allah Khamis ini akan ada satu mesyuarat di Bukit Aman disertai Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki," katanya kepada pemberita selepas persidangan AI Grand Prix 2025 di Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini, hari ini.
Program anjuran Kluster Industri Kreatif IPPTAR itu turut dihadiri Ketua Pengarah IPPTAR Roslan Ariffin dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman.
-- LAGI
FAHMI-TIKTOK 2 KUALA LUMPUR
Selain TikTok, Fahmi berkata syarikat induk Facebook, iaitu Meta Platforms Inc (Meta) juga akan dipanggil bagi memberikan penjelasan mengenai penyebaran kandungan tidak bermoral di platform mereka.
Katanya, antara isu dikenal pasti termasuklah penyebaran kandungan berkaitan pedofilia yang dikesan dalam Op Pedo melibatkan kumpulan dalam talian “Geng Budak Sekolah” sebagaimana tular menerusi WhatsApp dan Facebook.
"Kita lihat pihak platform-platform ini mereka tidak mengambil sikap yang serius, jadi proses dialog itu akan diteruskan dan kita akan beri penegasan undang-undang Malaysia yang terpakai kepada mereka dan mereka wajib akur, kami akan panggil setiap platform," katanya.
Sementara itu, ketika menjadi panel sesi dialog khas “Let's Talk AI Revolution” dalam persidangan AI Grand Prix 2025 berkenaan, Fahmi berkata kerajaan sedang meneliti keperluan mewajibkan pengesahan identiti bagi sebarang transaksi jualan melalui platform media sosial.
Beliau berkata langkah itu bertujuan membendung penyalahgunaan akaun palsu yang sering dikaitkan dengan jenayah penipuan, iklan judi dalam talian dan kandungan “deepfake”.
-- LAGI
FAHMI-TIKTOK 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR
"Banyak jenayah yang berlaku dalam media sosial, dilakukan oleh pelaku-pelaku yang berselindung di sebalik akaun palsu. Banyak daripada akaun ‘deepfake’, iklan judi, scam dan pedofilia, semuanya ialah akaun palsu.
"Saya nampak mungkin ada keperluan untuk kerajaan mengambil satu sikap, iaitu kalau hendak jual barang dalam talian, dalam platform-platform mesti ada verifikasi identiti, kalau hendak buat iklan dalam Facebook, mesti ada butiran sebenar, ini yang Facebook enggan lakukan," katanya dan menambah langkah itu juga telah dilaksanakan Singapura.
Dalam pada itu, Fahmi berkata Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab untuk ASEAN akan diterima pakai secara rasmi semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.
Sesi dialog berkenaan yang dikendalikan Penolong Naib Presiden Kanan dan Editor Eksekutif Astro AWANI Hafidah Samat turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Berhad Tan Sri Tony Fernandes.
Persidangan AI Grand Prix 2025 anjuran IPPTAR berlangsung selama dua hari bermula hari ini menghimpunkan tokoh akademik, pakar industri, penggiat kreatif dan penggubal dasar bagi membincangkan secara mendalam peranan Kecerdasan Buatan (AI) dalam membentuk landskap komunikasi, media dan kepimpinan digital negara.
Bertemakan 'Memacu Kecerdasan, Kepimpinan Masa Depan’, persidangan ini ialah ruang perkongsian ilmu dan berfungsi sebagai jambatan kerjasama antara sektor kerajaan, swasta dan masyarakat awam bagi memperkukuh daya saing negara dalam era transformasi digital.
-- BERNAMA
TAG: Fahmi Fadzil, TikTok, berita palsu, Bukit Aman, kecerdasan buatan
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah