Bahasa : BM | EN

Malaysia-Thailand Perkukuh Kerjasama Tutup Laluan Haram Demi Keselamatan Sempadan

22/07/2025 02:03 PM

KOTA  BHARU, 22 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Thailand terus memperkukuh kerjasama dua hala bagi menangani isu keselamatan dan penyeludupan di kawasan sempadan, khususnya di Sungai Golok-Rantau Panjang, yang sebelum ini menjadi tumpuan pergerakan rentas sempadan melalui pangkalan haram.

Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat Wichan Chaisetsumpan berkata pihak Majlis Perbandaran Sungai Golok, telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan agensi berkuasa Malaysia untuk mencari penyelesaian jangka panjang, termasuk tindakan menutup beberapa pangkalan haram yang dikenal pasti menjadi laluan tidak sah.

“Setakat ini, pihak berkewajipan dari kedua-dua negara sedang berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik. Kita yakin masalah ini dapat ditangani secara berperingkat demi keselamatan dan kemudahan masyarakat di kawasan sempadan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata kerajaan Thailand melalui agensi berkaitan, turut mengambil langkah serupa dengan Malaysia dalam menutup laluan haram, terutama di sempadan Narathiwat-Kelantan. Bagaimanapun, terdapat beberapa pangkalan yang dibuka secara berkala mengikut keperluan, dengan kawalan ketat bagi memastikan tiada unsur penyeludupan atau aktiviti menyalahi undang-undang berlaku.

Sejak Disember tahun lepas, polis Kelantan turut menutup beberapa pangkalan haram utama di sepanjang Sungai Golok, khususnya di Rantau Panjang.

Langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap penyeludupan barangan terlarang, kemasukan pendatang tanpa izin dan aktiviti jenayah rentas sempadan.

-- BERNAMA

 

 


 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami