KANGAR, 20 Julai (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 2,646 karton kotak kaki ayam sejuk beku bernilai RM317,520 dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran di tepi jalan berhampiran Kompleks Bebas Cukai Jalan Baru Sadao, Padang Besar pada Jumaat lepas.
Komander Briged Utara PGA SAC Shahrum Hashim berkata serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Batalion 18 PGA selepas menerima maklumat dalam Op Taring Wawasan Kedah/Perlis berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah lori kontena jenis Volvo yang sedang memindahkan muatan ke dua pikap bernombor pendaftaran Thailand. Hasil pemeriksaan menemukan 2,646 karton kotak mengandungi kaki ayam sejuk beku dengan nilai dianggarkan RM317,520,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrum berkata tiga kenderaan iaitu sebuah lori kontena dan dua pikap itu turut dirampas, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM1,417,520 dan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang juga pemandu lori turut ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata kesemua rampasan itu diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Siasatan lanjut oleh Cawangan Risik Batalion 18 PGA dijalankan bagi mengesan saki-baki sindiket yang dipercayai masih aktif menjalankan aktiviti penyeludupan di kawasan Padang Besar,” katanya.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah