Bahasa : BM | EN

Makluman Bantuan Kewangan RM1,500 Untuk Suri Rumah Adalah Palsu

18/07/2025 07:54 AM
By :
Zed Arjunaidi

Suntingan: Adila Ali & Sakina Mohamed

SEKILAS FAKTA

  • Tular dakwaan bahawa kerajaan telah meluluskan bantuan kewangan berjumlah RM1,500 kepada suri rumah dan ibu tunggal.

Menurut dakwaan itu, permohonan boleh dibuat dari 8 hingga 13 Julai 2025. Orang ramai yang ingin memohon diminta menghantar mesej menerusi WhatsApp sebelum diberikan satu pautan.

  • Semakan MyCheck mendapati maklumat tular adalah palsu. Bantuan kewangan itu tidak wujud.

  • Pautan yang diberikan pula akan membolehkan akaun Telegram mangsa digodam dan diambil alih. Ini merupakan taktik phishing yang dikenali sebagai ‘Telegram Takeover’.

  • pix1

     

    MENGENAI DAKWAAN

    Tular dakwaan bahawa kerajaan telah meluluskan bantuan kewangan berjumlah RM1,500 kepada suri rumah dan ibu tunggal.

    Menurut dakwaan yang dimuat naik di TikTok itu, permohonan untuk mendapatkan bantuan tersebut boleh dibuat mulai 8 hingga 13 Julai 2025.

    Turut terpapar tangkap layar gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berucap.

     

    pix2

     

    APA YANG KAMI TEMUI

    Permohonan Melalui WhatsApp

    Di ruangan komen, warga maya bertanyakan cara membuat permohonan. Individu yang memuat naik video itu membalas komen dengan meminta orang ramai menghantar mesej melalui WhatsApp.

     

    pix3

     

    MyCheck menghantar mesej kepada nombor yang diberikan untuk ‘memohon bantuan’ tersebut.

    Kami kemudian diberikan satu pautan.

     

    pix4

     

    Pautan Mencurigakan

    Apabila kami klik pautan itu, kami dibawa ke satu laman yang tertera ‘Senarai Lengkap Bantuan E-Wallet B40 dan M40’.

    Ini diikuti arahan ‘LOG DENGAN AKUN TELEGRAM ANDA.’ serta ruangan untuk mengisi nama dan nombor telefon.

     

    pix5

     

    Bagaimanapun kami mengesan beberapa perkara mencurigaka seperti kesalahan tatabahasa serta ejaan. Contohnya, perkataan ‘akaun’ yang dieja sebagai ‘akun’ serta ‘MyKad’ yang dieja ‘mycad’.

    Lazimnya kesalahan ejaan adalah petunjuk awal bahawa sesuatu portal itu boleh diragui kesahihannya kerana portal daripada sumber rasmi jarang sekali mempunyai kesalahan ejaan.

    Selain itu pautan yang diberikan juga tidak berakhir dengan gov.my, sebagaimana pautan rasmi kerajaan yang lain.

    Mana-mana pautan yang mendakwa sebagai laman web kerajaan haruslah menggunakan sambungan URL gov.my, sebagaimana dilaporkan Bernama.

     

    Taktik Phishing dan Telegram Takeover

    Kami teruskan usaha menyelidik dengan memasukkan nama samaran dan nombor telefon secara rambang dan mengklik butang ‘semak sekarang’ di laman itu.

    Ia membawa kami ke laman seterusnya yang meminta kod pengesahan aplikasi Telegram.

    MyCheck dapati cara ini hampir sama dengan scam permohonan jawatan kosong yang pernah kami laporkan pada April 2025, yang turut meminta kod daripada Telegram.

    Setelah kod pengesahan diisi, kami diminta pula mengisi kata laluan dan maklumat peribadi.

    Taktik ini merupakan satu kaedah phishing yang bertujuan memancing maklumat peribadi. Selain itu, ia juga usaha untuk menceroboh masuk ke dalam akaun Telegram mangsa, satu taktik yang lebih dikenali sebagai Telegram Takeover.

    Anda boleh baca mengenai Telegram Takeover di sini.

     

    Gambar Perdana Menteri Tiada Kaitan Dengan Bantuan Kewangan

    Berikutan hantaran yang dimuat naik memaparkan gambar Perdana Menteri, MyCheck turut membuat carian menggunakan teknik reverse image.

    Kami mengenal pasti bahawa gambar yang digunakan dalam video tular itu langsung tiada kaitan dengan sebarang bantuan kewangan, sebaliknya ia dirakam ketika Perdana Menteri menghadiri Forum Kepimpinan CTCORP di Jakarta, Indonesia pada 9 Jan 2023.

    Laporan berita mengenainya boleh dirujuk di sini, di sini dan di sini.

     

    pix6

     

    Bantuan Kewangan RM1,500 Tidak Wujud, Yang Ada Hanyalah Insentif i-Suri

    Kami membuat carian seterusnya menerusi Google dan mendapati tiada sebarang bantuan kewangan berjumlah RM1,500 diluluskan kerajaan kepada suri rumah dan ibu tunggal.

    Setakat ini, bantuan kewangan yang ada kepada suri rumah dan ibu tunggal adalah menerusi i-Suri.

    Menurut Jabatan Penerangan Malaysia, i-Suri merupakan satu inisiatif khas kerajaan untuk suri rumah, termasuk balu dan ibu tunggal yang berdaftar dalam Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih).

    Golongan tersebut layak menerima sumbangan kerajaan sebanyak RM480 setahun kepada bayaran caruman sebanyak RM5 sebulan di dalam akaun KWSP.

    i-Suri bertujuan memastikan kesejahteraan golongan suri rumah serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada ahli keluarga dan pembangunan negara.

     

    pix7

     

    KESIMPULAN

    Dakwaan bahawa kerajaan meluluskan bantuan kewangan berjumlah RM1,500 kepada suri rumah dan ibu tunggal adalah TIDAK BENAR.

    Semakan mendapati makluman tular adalah palsu dan menggunakan gambar Perdana Menteri yang dirakam dua tahun lepas ketika beliau menghadiri Forum Kepimpinan CTCORP di Jakarta, Indonesia.

    Pautan yang diberikan untuk memohon bantuan itu juga merupakan taktik phishing dan cubaan untuk mengambil alih akaun Telegram mangsa.

    Pautan laman web kerajaan yang sah akan sentiasa berakhir dengan ".gov.my". Segala pautan berkenaan bantuan yang disalurkan kerajaan hanya akan dimuat naik di platform dan media sosial rasmi. Pastikan anda di platform rasmi bagi mendapatkan maklumat sahih.

    -- MYCHECK.MY --

     

    RUJUKAN 

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     

     



     

     

     

    x

    HUBUNGI KAMI

    Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
    Kementerian Dalam Negeri
    Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62546 Putrajaya
    Malaysia

    +603-8880 8854
    +603-8880 8829
    nsomapo[at]moha.gov.my

    Visitors 0

    Ikut Kami