Bahasa : BM | EN

Op Metal: SPRM Sita Aset Lebih RM183 Juta, Beku Akaun Bank Libat Nilai Lebih RM51 Juta

15/07/2025 05:25 PM

GEORGE TOWN, 15 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita pelbagai aset dianggarkan bernilai lebih RM183 juta, susulan serbuan terhadap sindiket penyeludupan besi di lima negeri yang dijalankan sejak semalam.

Menurut sumber, serbuan dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM secara bersepadu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) secara pasukan pertugas pelbagai agensi menerusi Op Metal itu, turut membekukan 45 akaun syarikat dan 82 akaun perbankan milik individu melibatkan nilai kira-kira RM51 juta.

Aset yang disita itu melibatkan lapan hartanah di Pulau Pinang iaitu tiga unit banglo di Batu Maung, satu unit emper di Tanjung Tokong, satu unit lot kedai di Bayan Lepas, 31 ekar tanah di Nibong Tebal, 7.1 ekar tanah di Batu Uban dan 5.6 ekar tanah di Juru serta lebih 1,960 ekar tanah ladang sawit di Kuala Krai, Kelantan.

“SPRM turut menyita enam unit kereta mewah yang terdiri daripada model Porsche Cayenne, Range Rover, BMW, Volvo, Toyota Land Cruiser dan Toyota Alphard yang keseluruhannya dianggarkan bernilai lebih RM1.9 juta.

“Pada serbuan itu juga, SPRM turut menyita lima unit jam tangan berjenama Patek Phillippe, Tag Heuer, Rolex, Omega Speedmaster dan Omega Seamaster dianggarkan bernilai lebih RM740,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan kebanyakkan aset, kenderaan mewah dan jam berjenama yang disita itu, milik seorang lelaki warga asing yang juga pemilik sebuah syarikat besi buruk, yang rumahnya terletak di kawasan elit di Batu Maung dekat sini yang diserbu dalam Op Metal semalam.

Semasa serbuan semalam lelaki bergelar datuk itu tiada di rumah dan dipercayai berada di luar negara atas urusan perniagaan serta dijangka pulang semula ke Pulau Pinang esok.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai pembekuan akaun-akaun perbankan berkenaan serta sitaan melibatkan hartanah, kenderaan mewah erta jam tangan terbabit.

Susulan operasi pada Isnin itu, beliau berkata SPRM turut membuat penggeledahan di 13 lokasi baharu di Pulau Pinang, Kedah, Johor dan sekitar Lembah Klang hari ini.

“SPRM kini sedang mengenal pasti pihak-pihak yang bersekongkol dengan sindiket ini, yang menyeludup keluar besi serta bahan buangan e-sisa melalui Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang, sehingga menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai dianggarkan berjumlah lebih RM950 juta sejak enam tahun lepas.

“Fokus siasatan menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 dan 18 Akta SPRM 2009, selain penyiasatan turut menganalisis dan mengenal pasti elemen-elemen kesalahan jenayah lain, di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram termasuk siasatan kesalahan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 serta Akta Kastam 1967 oleh agensi-agensi lain yang terlibat dalam operasi ini,” katanya.

Terdahulu, Bernama melaporkan SPRM menggempur sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri, yang dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai eksport dipercayai mencecah lebih RM950 juta.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 277920

Ikut Kami