Transformasi digital merupakan pemangkin kepada daya saing serantau. Ia kini menjadi teras utama dalam landskap pembangunan ASEAN, dipacu oleh pertumbuhan ekonomi digital yang pesat, ledakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan keperluan mendesak untuk merapatkan jurang pembangunan pascapandemik COVID-19.
ASEAN diunjurkan menjadi pasaran Internet yang terpantas berkembang di dunia, dengan pertambahan lebih 125,000 pengguna baharu setiap hari. Ekonomi digital ASEAN diunjur menambah nilai sekitar USD1 trilion kepada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) serantau menjelang sedekad akan datang.
Rancangan seperti ASEAN Digital Masterplan 2025 (ADM 2025) dan ASEAN Digital Masterplan 2030 (ADM2030) memperincikan hala tuju kolektif bagi memperkukuh sambungan Internet, membangunkan perkhidmatan kerajaan digital, memperluas kemahiran digital dan memperkenalkan ekosistem yang selamat dan terangkum.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 memberi keutamaan kepada transformasi digital bersama peralihan tenaga dan pembangunan AI. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan usaha ini sebagai strategi menyeluruh, bukan retorik, dengan harapan menjadikan Malaysia dan ASEAN sebagai hab digital berdaya saing tinggi.
Potensi Jurang Digital dalam Kalangan Negara ASEAN
Walaupun digitalisasi menjanjikan peluang besar kepada negara-negara anggota ASEAN, ia turut membawa risiko melebarkan jurang perbezaan dalam akses, infrastruktur dan keupayaan teknologi antara negara anggota dan dalam kalangan rakyatnya.
Laporan ADM 2025 contohnya menekankan bahawa:
(1) Infrastruktur digital adalah tidak seimbang, terutama di kawasan luar bandar dan negara anggota yang kurang maju.
(2) Perbezaan dalam tahap literasi digital menyebabkan ramai yang masih belum bersedia menyertai ekonomi digital.
(3) Kos akses Internet dan peranti digital masih tinggi di beberapa negara, menghambat keterangkuman digital.
(4) Ancaman keselamatan siber dan kelemahan tadbir urus data menjejaskan kepercayaan terhadap perkhidmatan digital.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan turut memberi amaran bahawa kemajuan pesat teknologi seperti AI dan pengkomputeran kuantum memerlukan ASEAN untuk bertindak pantas dan inklusif agar tiada negara atau komuniti yang tercicir dalam arus digitalisasi.
Program Utama ASEAN dalam Transformasi Digital
Beberapa inisiatif utama sedang digerakkan oleh ASEAN dalam melaksanakan Transformasi Digital ini.
Pertama, ASEAN Digital Masterplan 2025 (ADM 2025). ADM 2025 mewujudkan lapan Hasil Sasaran (DO, Desired Outcomes) yang dirangka untuk memastikan kesan maksimum terhadap daya saing dan keterangkuman serantau. Antaranya:
(1) DO2: Infrastruktur Jalur Lebar Berkualiti – Meningkatkan liputan Internet berkelajuan tinggi, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
(2) DO3: Perkhidmatan Digital yang Dipercayai – Menekankan aspek keselamatan siber, perlindungan data dan kepercayaan pengguna.
(3) DO5: E-Kerajaan Berkesan – Menggalakkan penyampaian perkhidmatan kerajaan secara digital dengan cekap dan mesra rakyat.
(4) DO8: Keterangkuman Digital – Menangani halangan seperti kemahiran digital rendah, kos peranti, dan kekangan sambungan, khususnya untuk golongan B40 dan komuniti luar bandar.
Kedua, ASEAN Digital Masterplan 2030 (ADM2030). ADM2030 merupakan pelan jangka panjang yang bakal menggantikan ADM2025, diselia oleh Vietnam dan dijangka diluluskan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) yang ke-6 pada tahun 2026.
Fokus utama ADM2030 ialah memperkukuh daya saing digital ASEAN dalam landskap global yang kian kompleks. Antara aspek yang dijangka akan diberi keutamaan ialah:
(1) Pemantapan AI, teknologi kuantum dan data besar.
(2) Rangka kerja etika dan tadbir urus digital serantau.
(3) Integrasi pasaran digital ASEAN yang lebih erat.
(4) Kerjasama sektor awam-swasta dan inovasi digital merentas sempadan.
ADM2030 juga dijangka menyediakan rangka pelaksanaan berfasa bagi meningkatkan kecekapan kerajaan digital, produktiviti perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PMKS), serta kelestarian ekosistem digital.
Ketiga, Forum Digital ASEAN 2026 yang akan diadakan seiring dengan ADGMIN kali ke-6 di Vietnam. Forum ini akan menjadi platform strategik berprofil tinggi untuk menyatukan penggubal dasar, industri, penyelidik, dan masyarakat awam dalam membincangkan hal ehwal penting seperti kerjasama dalam pembangunan dan tadbir urus Kecerdasan Buatan (AI), isu keselamatan siber serantau dan pengurusan ancaman digital seperti penipuan dalam talian serta penambahbaikan dasar digital ASEAN, termasuk melalui ASEAN Digital Outlook 2025 yang disokong oleh Google.org.
Keempat, Inisiatif ASEAN AI Malaysia Summit 2025. Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan ASEAN AI Malaysia Summit pertama dari 12 hingga 13 Ogos 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Sidang kemuncak ini dijangka akan memainkan peranan sebagai:
(1) Platform utama tadbir urus dan kolaborasi serantau dalam bidang AI.
(2) Medan perbincangan pelbagai pihak termasuk Sekretariat ASEAN, Yayasan ASEAN, EU-ASEAN, Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN, 500 Global, Alibaba Cloud, Grab, McKinsey dan Women in Tech.
(3) Pusat dialog belia menerusi Youth Caucus yang membincangkan peranan AI dalam membentuk masa depan ASEAN.
Acara seperti AI Code Fest, AI Builder Hub dan AI Horizon 2025 pula akan memupuk inovasi, penglibatan masyarakat, dan penerokaan teknologi AI secara praktikal, selain memperkukuh keterangkuman gender dan belia dalam sektor digital.
Peranan Malaysia Dalam Menerajui Transformasi Digital ASEAN
Malaysia kini muncul sebagai pemacu utama agenda digital ASEAN. Kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dengan infrastruktur 5G berprestasi tinggi memperlihatkan komitmen Malaysia dalam menyedia ekosistem digital kelas dunia. Melalui Digital Nasional Berhad (DNB) dan inisiatif seperti Jendela pula, Malaysia telah mencapai kadar liputan 5G melebihi 82.4 peratus pada 2024.
ADGMIN kali ke-5 di Bangkok pada 17 Januari 2025 telah menyokong lima projek utama yang diterajui oleh Malaysia pada tahun 2025, iaitu:
1. Menerajui penerapan AI yang selamat di Asia Tenggara di mana Malaysia mengetuai deklarasi penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (ASEAN AI Safe).
2. Pembangunan pusat data yang mampan di mana Malaysia juga telah memulakan "Garis Panduan Pembangunan Pusat Data Yang Mampan ASEAN”, satu rangka kerja komprehensif yang memberi panduan kepada pembuat dasar untuk membangunkan industri pusat data yang mampan, menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang sambil mengutamakan kelestarian alam sekitar.
3. Rangka kerja pengkomputeran awan merentas sempadan yang bertujuan membangunkan rangka kerja yang menetapkan prinsip-prinsip tadbir urus data dalam era pengkomputeran awan.
4. Pembangunan tenaga kerja 5G yang berkemahiran tinggi, melalui kursus dan program latihan khusus yang bertujuan meningkatkan kemahiran semula serta pensijilan profesional dalam bidang ini.
5. Pembangunan Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN di mana Malaysia akan mengetuai projek setahun ini yang bertujuan merangka dan menubuhkan Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026-2030.
Malaysia juga menjuarai aspek keselamatan siber menerusi Deklarasi ASEAN mengenai keselamatan siber serta bakal menjadi tuan rumah ASEAN AI Malaysia Summit. Tugas memperkasa pembangunan AI bertanggungjawab dan terangkum, seiring dengan semangat Malaysia Madani, dipikul dengan baik oleh Kementerian Digital dan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO).
Ke Arah Kejayaan Transformasi Digital ASEAN
Untuk menjayakan transformasi digital tanpa mencipta jurang baharu, ASEAN perlu memandang serius beberapa perkara berikut:
1. Mempercepatkan pelaksanaan ADM 2025 & ADM2030 dengan memberi keutamaan kepada peruntukan kepada sektor digital dan melonggarkan regulasi yang menghambat inovasi.
2. Menjamin infrastruktur berkualiti tinggi dan sekata, termasuk Internet berkelajuan tinggi di kawasan luar bandar, serta memperluas spektrum dan pembiayaan bersama untuk pembangunan jalur lebar.
3. Mengarusperdanakan literasi digital dan keselamatan siber dengan mewujudkan pusat latihan, kurikulum digital serantau dan standard keselamatan yang seragam.
4. Menghapuskan jurang kos dan akses peranti melalui subsidi peranti, pusat Internet komuniti dan rangkaian mesh.
5. Membina ekosistem AI yang bertanggungjawab dengan mengukuhkan tadbir urus data, etika AI, dan penglibatan pelbagai pihak termasuk belia.
6. Mengharmonikan undang-undang rentas sempadan untuk memudahkan aliran data, e-dagang dan transaksi digital rentas negara.
7. Menggalakkan kerjasama awam-swasta dalam pembangunan infrastruktur, pelaburan dalam AI dan inovasi teknologi tempatan.
Ringkasnya, transformasi digital sememangnya membuka peluang besar kepada ASEAN dalam melonjakkan daya saing global, memperkukuh pembangunan mampan dan meningkatkan kesejahteraan rakyatnya. Namun, peluang ini hanya akan bermakna jika ia bersifat terangkum, saksama dan berteraskan kepercayaan.
Digitalisasi tidak seharusnya menjadi medan eksklusif negara-negara maju dalam ASEAN, tetapi satu platform bersama yang menjamin bahawa “tiada siapa yang tercicir”. Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 telah menunjukkan arah, kini terpulang kepada semua negara anggota untuk berganding bahu membina masa depan digital yang selamat, adil dan lestari untuk semua.
-- BERNAMA
Prof Dr Rusdi Omar ialah Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah