Bahasa : BM | EN

Jangan Klik Pautan SMS Konon Label Bungkusan Ninja Van Rosak, Ia Adalah Cubaan Scam!

11/07/2025 03:15 PM
By :
Najmi Shah

Suntingan: Adila Ali & Shazlina Azman

SEKILAS FAKTA

  • MyCheck menerima SMS kononnya daripada syarikat kurier Ninja Van Malaysia menyatakan label pada bungkusan barangan yang dipesan telah rosak dan menyebabkan penghantaran barangan tidak dapat dilakukan.

Pengguna diminta mengemas kini alamat menerusi satu pautan yang diberikan, namun pautan itu sebenarnya membawa ke laman web palsu untuk memancing data perbankan.

  • Ninja Van memaklumkan mesej tersebut bukan daripada mereka, malah mereka tidak akan meminta penerima bungkusan untuk klik pada sebarang pautan, terutamanya berkaitan dengan kerosakan bungkusan.

  • Ia adalah taktik scammer untuk memperdaya mangsa kononnya mereka perlu membayar yuran penghantaran semula bungkusan, yang menyebabkan pengguna memasukkan maklumat sensitif perbankan di dalam laman web palsu tersebut tanpa menyedari risikonya.

  • pix1

     

    MENGENAI DAKWAAN

    MyCheck menerima satu SMS yang mendakwa mereka daripada syarikat kurier dan logistik Ninja Van Malaysia, kononnya label pada bungkusan barangan yang dipesan telah rosak dan menyebabkan mereka terpaksa menghentikan penghantaran bungkusan tersebut buat sementara waktu.

    Turut disertakan satu pautan dan kami diminta memberi respons dengan mengesahkan alamat melalui pautan yang diberikan dalam tempoh 24 jam.

    Perkara ini menimbulkan kemusykilan kerana tiada sebarang penempahan barangan telah dibuat menggunakan nombor MyCheck.

     

    pix2

     

    APA YANG KAMI TEMUI

    Nombor Berasal Dari Filipina

    MyCheck melakukan semakan awal dengan menyemak nombor telefon pengirim berkenaan menggunakan aplikasi Whoscall.

    Whoscall adalah satu aplikasi teknologi pengecaman panggilan tidak dikenali.

    Semakan mendapati nombor yang menghantar SMS itu berasal dari Filipina.

    Rujukan kami di Countrycode.org juga mengesahkan nombor yang bermula dengan +63 adalah dari Filipina.

     

    pix3

     

    Timbul satu lagi kemusykilan mengapa syarikat kurier Ninja Van Malaysia yang berpangkalan di Malaysia menggunakan nombor telefon dari Filipina.

     

    Pautan Mencurigakan

    Beralih kepada pautan yang disertakan bersama mesej tersebut, kami dapati terdapat satu lagi keraguan kerana pautan tersebut menggunakan domain “aefckj.help” dan bukan pautan rasmi Ninja Van Malaysia di www.ninjavan.co/ms-my.

    Semakan kami di laman sesawang Ninja Van mendapati, pengguna boleh menyemak status barangan mereka di sini jika mendapati penghantaran bungkusan mereka dalam status ‘on hold’ atau ditangguhkan buat sementara waktu.

     

    pix4

     

    Ninja Van Sahkan SMS Bukan Daripada Mereka

    Berdasarkan maklumat tersebut, kami membuat semakan di laman sosial dan laman sesawang rasmi milik Ninja Van jika ada sebarang kenyataan berhubung isu ini. 

    Hasil semakan di Instagram milik ninjavanmalaysia menjumpai dua hantaran yang mengatakan mesej tersebut adalah palsu. 

    Ninja Van memaklumkan SMS tersebut bukan daripada mereka dan meminta pengguna untuk tidak mengklik pautan berkenaan.

    “Kami ada menerima laporan mengenai mesej scam yang mengandungi pautan palsu menyamar sebagai wakil daripada Ninja Van.

    “Jika anda menerima mesej tersebut, jangan balas, jangan klik pada pautan yang diberikan dan laporkan kepada saluran rasmi Ninja Van,” jelas Ninja Van.

     

    pix5

     

    pix6

     

    Pihak Ninja Van juga turut berkongsi tangkap layar beberapa SMS yang diterima oleh orang ramai.

     

    Pengguna Diminta Bayar Yuran Penghantaran Semula

    Ninja Van di laman sesawang mereka turut memaklumkan pautan palsu tersebut akan mengarahkan mangsa ke laman web palsu yang menyamar sebagai Ninja Van dan memperdaya mangsa.

    “Laman web ini kemudiannya akan cuba memperdaya mangsa untuk memasukkan semula maklumat sensitif dan membayar yuran penghantaran semula bungkusan mereka.

    “Ninja Van Malaysia tidak akan meminta penerima bungkusan untuk klik pada sebarang pautan, terutamanya berkaitan dengan kerosakan bungkusan,” jelas Ninja Van.

     

    pix7

     

    Merujuk kepada kenyataan tersebut, Ninja Van turut menegaskan mereka hanya akan menghubungi pelanggan melalui saluran iaitu sistem pemesejan rasmi Ninja Van, akaun media sosial dan WhatsApp Business rasmi Ninja Van dan alamat e-mel yang berakhir dengan @ninjavan.co.

    “Jika anda ada menerima mesej yang mencurigakan, hubungi kami di support_my@ninjavan.co atau sembang langsung di https://sns.ninjavan.co/?system_id=my,” menurut Ninja Van.

     

    KESIMPULAN

    Berdasarkan semakan, SMS yang dikatakan dihantar oleh syarikat kurier Ninja Van mengatakan bungkusan tidak dapat dihantar kepada penerima disebabkan label rosak adalah TIDAK BENAR.

    Ninja Van mengesahkan SMS berserta pautan mencurigakan itu bukan daripada syarikat kurier berkenaan tetapi adalah taktik scammer.

    Pengguna disaran untuk merujuk laman sesawang rasmi syarikat kurier jika terdapat keraguan mengenai bungkusan mereka.

    Justeru, orang ramai diingatkan untuk tidak semudahnya mengklik pautan disertakan di dalam SMS atau pun WhatsApp, dan jangan sewenang-wenangnya mengisi data peribadi termasuk maklumat akaun bank, bagi memastikan diri tidak menjadi mangsa scammer.

    Ingat, salah klik, duit boleh hilang! Hati-hati dengan pautan yang mencurigakan!

    -- MYCHECK.MY --

     

    RUJUKAN 

    1. Whoscall | About whoscall 

    2. CountryCode | Philippines Country Code

    3. Ninjavan

    4. Ninjavan | What should i do if my parcel status is 'Delivery on hold'?

    5. MyCheck | SMS Tebus Mata Ganjaran Melalui Pautan Adalah Scam, Bukan Daripada CIMB | 20 Jan 2025

    6. Facebook | KPDN Rasmi

    7. Instagram | Ninjavanmalaysia | Scam alert

    8. Instagram | Ninjavanmalaysia | Scam alert

    x

    HUBUNGI KAMI

    Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
    Kementerian Dalam Negeri
    Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62546 Putrajaya
    Malaysia

    +603-8880 8854
    +603-8880 8829
    nsomapo[at]moha.gov.my

    Visitors 277920

    Ikut Kami