Bahasa : BM | EN

Indonesia Rampas Dua Tan Methamphetamine Dalam Tangkapan Terbesar, Enam Ditahan

27/05/2025 08:37 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 27 Mei (Bernama) -- Pihak berkuasa Indonesia merampas dua tan dadah jenis methamphetamine dalam rampasan terbesar negara itu setakat ini dan menahan enam suspek, termasuk empat warga Indonesia dan dua rakyat Thailand, menurut pegawai pada Selasa.

Dadah itu ditemukan di atas kapal utiliti MT Sea Dragon Tarawa yang berdaftar di Indonesia, hasil operasi bersama Kastam, Agensi Narkotik Kebangsaan (BNN) dan Tentera Laut, berdasarkan risikan mengenai pergerakan kapal yang mencurigakan itu.

Menurut Kastam, kapal berkenaan dipercayai berlepas dari Phuket, Thailand, dan dalam perjalanan ke Filipina, sebelum dipintas pada 20 Mei dalam rondaan maritim bersepadu di Selat Melaka.

“Kapal telah diiringi ke Dermaga Kastam Tanjung Uncang di Batam, dan pemeriksaan penuh dijalankan dengan bantuan unit anjing pengesan (K9),” kata jurucakap Kastam, Nirwala Dwi Heryanto, dalam kenyataan pada Selasa.

Hasil pemeriksaan pada 21 Mei menemukan 67 kotak mengandungi 2,000 bungkusan methamphetamine, dengan berat keseluruhan 2,000 kilogram.

Berdasarkan keterangan suspek, katanya, dadah itu berkemungkinan ditujukan ke Filipina. Kesemua enam suspek ditahan di atas kapal semasa pemeriksaan awal.

Operasi itu berlangsung di perairan berhampiran Karimun Anak, Kepulauan Riau, kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas penyeludupan kerana kedudukannya yang hampir dengan laluan pelayaran antarabangsa utama.

Nirwala berkata para suspek berdepan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati, dan rampasan tersebut dipercayai telah menghalang sehingga lapan juta orang daripada memperoleh bekalan dadah itu.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 277920

Ikut Kami