Bahasa : BM | EN

Eksploitasi Kerja Di Johor Dan Myanmar: Penganggur, Remaja Mengaku Tidak Bersalah

10/04/2025 04:08 PM

JOHOR BAHRU, 10 April (Bernama) -- Seorang penganggur dan seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga lelaki bagi tujuan eksploitasi kerja di negeri ini dan Myanmar antara Disember hingga Februari lepas.

Tertuduh, Jasper Yap En Wai, 20, dan Desmond Ang Wei Cheng, 18, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa secara bersama memperdagangkan dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun bagi maksud eksploitasi kerja dengan cara perdayaan di sebuah restoran di Taman Maju Jaya di sini, pada awal Disember lepas hingga 14 Febi lalu.

Sementara itu, Jasper Yap turut berdepan satu lagi pertuduhan memperdagangkan seorang lelaki berusia 21 tahun bagi maksud eksploitasi kerja dengan cara perdayaan di Shwekkoko, Myanmar, antara 7 Dis 2024 hingga 14 Febi lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Kodesviary, manakala Desmond Ang diwakili peguam Mohammad Muzzamil Mohammad Hairiri. Jasper Yap pula tidak diwakili peguam.

Kodesviary dalam pendakwaannya memohon agar tiada jaminan diberikan terhadap Jasper Yap kerana tertuduh juga berdepan pertuduhan di bawah seksyen sama di Mahkamah Sesyen Batu Pahat, melibatkan mangsa berlainan dengan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, Kodesviary memohon agar jaminan ditawarkan RM60,000 bagi setiap pertuduhan sekiranya mahkamah membenarkan jaminan mengikut budi bicara, berserta syarat tambahan.

Mohammad Muzzamil kemudian memohon agar jaminan minimum diberikan terhadap anak guamnya kerana tidak mempunyai pendapatan dan menanggung keluarga.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan terhadap Jasper Yap sebanyak RM24,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan, manakala sebanyak RM15,000 dikenakan terhadap Desmond Ang untuk setiap pertuduhan, juga dengan dua penjamin warga tempatan.

Hakim turut menetapkan syarat tambahan iaitu kedua-duanya perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya ada, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 21 Mei depan untuk sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam bagi Jasper Yap.

-- BERNAMA

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 277920

Ikut Kami