KUALA LUMPUR, 17 Jan -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun ini memberi lebih fokus kepada langkah membanteras jenayah buruh paksa sebagai sebahagian daripada usaha agensi itu menangani isu pemerdagangan manusia di negara ini.
Penolong Pengarah D3 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ACP Azry Akmar Ayob berkata ini kerana masih ramai anggota masyarakat kurang kesedaran dan kefahaman berkaitan ciri serta kriteria jenayah buruh paksa.
Beliau berkata akibatnya, ada anggota masyarakat tidak menyedari apa yang mereka lakukan atau insiden buruh paksa yang berlaku di hadapan mereka dan melanggar undang-undang buruh di negara ini.
Azry Akmar berkata selain itu, ada juga pihak khususnya majikan yang sengaja melanggar undang-undang buruh dengan mengeksploitasi pekerja mereka.
“Salah satu contoh (ialah) modus operandi yang dilakukan oleh syarikat pembersihan. Mereka membawa masuk pekerja asing, diberikan tempat tinggal sebelum diminta bekerja tanpa dibayar gaji, selepas itu pekerja itu dikurung pula,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman baru-baru ini.
Beliau berkata walaupun PDRM akan lebih memfokus kepada jenayah buruh paksa namun isu pemerdagangan manusia lain seperti eksploitasi seks dengan membawa masuk wanita warga asing ke negara ini untuk bekerja sebagai pelacur atau pelayan khidmat pelanggan (GRO) tetap diberi perhatian.
Bernama sebelum ini melaporkan kategori eksploitasi seks dan buruh paksa menyumbang kes terbesar dalam isu pemerdagangan manusia pada 2019 dan tahun lepas di Malaysia dengan 418 kes.
Selain eksploitasi seks dan buruh paksa, laporan itu menyenaraikan perhambaan, pengabdian, pemindahan organ dan aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti penjualan bayi sebagai kategori jenayah pemerdagangan manusia mengikut Seksyen 2 Akta ATIPSOM 2007.
Azry Akmar berkata langkah PDRM untuk lebih memberi fokus kepada isu buruh paksa diharap dapat memperbaiki kedudukan negara dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) yang meletakkan Malaysia dalam Tier 2 Watch List pada 2020 berkaitan isu berkenaan.
“Kita lakukan pelbagai usaha dan pendekatan dalam isu ini (adalah) berdasarkan polisi, keadaan, kedaulatan, budaya dan integriti dalam negara kita.
“Saya tak nafikan laporan itu satu petunjuk dari Amerika Syarikat yang diberi kepada semua negara di seluruh dunia mengenai bagaimana mereka tangani isu pemerdagangan orang tetapi ia bukan bukti sahih yang Malaysia tidak menanganinya.
“Kita tangani cara kita, mungkin berbeza dengan Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata Tier 1 dalam Laporan Tahunan JNAS bermaksud sesebuah negara itu menepati standard minimum yang ditetapkan manakala Tier 3 adalah paling rendah iaitu seolah-olah kerajaan sesebuah negara tiada usaha langsung dalam menangani jenayah rentas sempadan terbabit.
Azry Akmar berkata dalam penguatkuasakan Akta ATIPSOM 2007, PDRM yang juga antara agensi di bawah Majlis Anti Pemerdagangan Orang, berperanan menjalankan tangkapan, perisikan dan menyelamatkan mangsa sehingga suspek jenayah itu didakwa di mahkamah.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah