SABAK BERNAM, 12 Jun (Bernama) -- Enam nelayan warga asing sanggup terjun ke dalam sungai, malah ada yang berendam hampir sejam bagi mengelak pemeriksaan pihak berkuasa dalam serbuan di perkampungan nelayan Bagan Nakhoda Omar di sini, awal pagi tadi.
Mereka merupakan antara 79 pendatang asing yang ditahan dalam operasi bersepadu melibatkan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.
Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan berkata operasi yang bermula pada petang semalam itu turut melibatkan tindakan penguatkuasaan di daerah Kuala Selangor dan membabitkan pemeriksaan terhadap 125 individu.
Beliau berkata operasi di kawasan perairan serta pesisir pantai Bagan Nakhoda Omar itu dilaksanakan susulan lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai antara kawasan tumpuan aktiviti penyeludupan migran dan pelbagai kesalahan jenayah rentas sempadan.
Mohd Zaini berkata antara kesalahan yang dikesan ialah menggaji dan melindungi warga asing tanpa dokumen sah, tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, menyalahgunakan pas lawatan serta memasuki negara melalui laluan yang tidak sah.
“Kesemua yang ditahan berumur antara 18 hingga 60 tahun, melibatkan 69 lelaki dan 10 perempuan.
“Bagi tangkapan polis, kita telah menahan sebanyak tujuh lelaki warganegara tempatan disyaki berperanan sebagai tekong dan 28 warganegara asing yang dikesan masuk melalui laluan tidak sah di perairan Sabak Bernam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Zaini berkata operasi yang melibatkan lapan agensi keselamatan dan penguatkuasaan peringkat negeri itu turut berperanan mengenal pasti modus operandi pendatang asing selain pihak yang dipercayai mendalangi aktiviti membawa masuk warga asing di perairan Selangor.
“Perlindungan dan keselamatan mereka ini agak sistematik, ada beberapa lapisan keselamatan untuk menentukan yang dia peka dengan kedatangan pihak kita, perkara itu saya tidak boleh perincikan, tetapi kita dah nampak cara mereka melindungi kawasan mereka.
“Bukan sahaja dari segi premis itu sendiri, tetapi cara mereka reka laluan, yang itu kita akan buat sedikit kajian dan masa depan mungkin kita akan buat operasi dengan kaedah yang sedikit berbeza agar lebih berkesan,” katanya.
Mohd Zaini berkata operasi di perkampungan terbabit turut menemukan dua kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan bahan api diesel oleh KPDN Selangor.
Beliau berkata operasi bersepadu berkenaan akan dilakukan secara berfasa dan berterusan sebagai langkah pencegahan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan perairan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
“Pihak berkuasa juga ingin mengingatkan orang awam serta majikan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti melindungi pendatang asing dan aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Pihak berkuasa juga mengalu-alukan orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut, keselamatan negara tanggungjawab bersama," katanya.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah