Bahasa : BM | EN

Ketepikan Keinginan, Berhemat Hadapi Cabaran Krisis Bekalan Global Juga Satu Pengorbanan

29/05/2026 10:13 AM
By :
Balkish Awang

Zulhijah bulan ke-12 dan terakhir dalam kalendar Islam, merupakan antara bulan yang dinanti-nantikan oleh Muslimin dan Muslimah kerana, setiap ibadah dan amalan kebaikan yang dilakukan sepanjang bulan itu akan diberikan ganjaran pahala berlipat kali ganda oleh Allah SWT. 

Bulan ini juga mengajar umat Islam makna pengorbanan menerusi sambutan Aidiladha pada setiap 10 Zulhijah, sebagai memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim alahissalam dan puteranya Nabi Ismail alahissalam, menyaksikan umat Islam yang berkemampuan melaksanakan ibadah korban.

Pun begitu, menurut ilmuwan agama, dalam konteks kehidupan hari ini, pengorbanan tidak hanya terikat pada penyembelihan haiwan ternakan, sebaliknya turut meliputi cara umat Islam menjalani kehidupan ketika dunia dan negara sedang mengharungi cabaran seperti krisis bekalan global sekarang.

 

CABARAN KRISIS EKONOMI

Mengulas perkara itu, pensyarah di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Mohamad Haeqal Ishak berkata kehidupan masyarakat hari ini yang mendepani fasa kenaikan kos sara hidup akibat krisis geopolitik dunia, merupakan satu bentuk ujian yang menuntut pengorbanan daripada umat Islam.


Mohamad Haeqal Ishak

"Dalam Islam, ujian bukan semata-mata musibah tetapi medan untuk menilai kekuatan iman, kesabaran, solidariti dan ketakwaan manusia. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 155: ‘Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.’”

"Ayat ini menunjukkan cabaran ekonomi dan kesempitan hidup merupakan sebahagian daripada sunnatullah (ketetapan Allah) yang pasti berlaku dalam kehidupan manusia. Namun, yang lebih penting ialah bagaimana seseorang itu bertindak untuk menghadapi ujian tersebut, " katanya ketika ditemui Bernama baru-baru in

Mohamad Haeqal berkata dalam konteks krisis bekalan global ketika ini, antara bentuk pengorbanan yang dituntut daripada umat Islam ialah harta, masa, tenaga juga kepentingan diri demi membantu orang lain serta mempertahankan nilai kemanusiaan. 

Memberikan contoh, beliau berkata ketika ramai berdepan dengan tekanan kewangan, Islam mengajar umatnya supaya tetap bersedekah, membantu jiran, menjaga kebajikan keluarga dan tidak mementingkan diri sendiri. 

"Selain itu, pengorbanan semasa melalui saat ketegangan geopolitik ini adalah dari sudut akhlak dan emosi. Dalam suasana masyarakat yang mudah tertekan dan cepat marah akibat tekanan hidup, umat Islam dituntut untuk terus bersabar, menjaga adab, mengawal hawa nafsu serta tidak menzalimi orang lain demi kepentingan diri. 

"Aidiladha mengingatkan bahawa pengorbanan sebenar bukan hanya menyembelih haiwan tetapi kesediaan manusia ‘menyembelih’ sifat tamak, ego, individualistik dan cinta dunia yang melampau. Ada kalanya pengorbanan terbesar ialah mendahulukan keperluan orang lain ketika kita sendiri juga sedang susah," katanya.

Pada masa sama ilmuwan itu berkata krisis peperangan dan penderitaan umat manusia di beberapa tempat di dunia juga mengajar seseorang akan pentingnya solidariti ummah dan kemanusiaan sejagat. 


Sacrifice today is no longer merely about slaughtering animals, but also about sacrificing ego, greed, arrogance, and excessive love for worldly pursuits.--BERNAMApic

"Rasulullah SAW bersabda: ‘Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kasih sayang dan belas kasihan sesama mereka seperti satu tubuh; apabila satu anggota sakit, seluruh tubuh turut merasai sakit dan berjaga malam’. (Hadis) riwayat al-Bukhari dan Muslim ini sangat relevan pada hari ini. Umat Islam tidak boleh hidup hanya memikirkan diri sendiri tanpa mempedulikan penderitaan masyarakat lain," katanya.

Justeru, tegas beliau, ketika menghadapi krisis global, Aidiladha membawa mesej bahawa kekuatan umat bukan hanya pada ekonomi atau teknologi semata-mata tetapi pada nilai sabar, pengorbanan, persaudaraan dan kebergantungan pada Allah, kerana nilai berkenaan yang akan membantu masyarakat menjadi lebih kuat dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran dunia moden.

 

MEMAHAMI PENGORBANAN NABI IBRAHIM DAN ISMAIL

Mengambil contoh pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, beliau berkata semangat pengorbanan kedua-dua nabi itu perlu difahami bukan hanya sebagai peristiwa sejarah tetapi model pendidikan iman dan kehidupan yang sangat relevan sepanjang zaman. 

Ulas Mohd Haeqal, dalam konteks zaman moden hari ini, cabaran manusia mungkin berbeza tetapi nilai yang diuji tetap sama, iaitu sejauh mana seseorang meletakkan Allah mengatasi kehendak diri, hawa nafsu dan kecintaan dunia.

"Kisah Nabi Ibrahim mengajar kita tentang ketaatan mutlak kepada Allah walaupun perintah itu sangat berat dari sudut emosi dan logik manusia. Nabi Ismail pula menunjukkan sifat taat, sabar dan percaya penuh pada hikmah Allah. Ini sangat penting dalam dunia hari ini yang sering meletakkan ukuran kejayaan pada kebendaan, populariti dan kepentingan peribadi.

"Dalam kehidupan moden, semangat pengorbanan ini boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk. Contohnya pengorbanan ibu bapa mendidik anak dengan agama walaupun berdepan dengan cabaran sosial dan teknologi, pengorbanan masa dan tenaga untuk membantu masyarakat, pengorbanan meninggalkan perkara haram demi menjaga prinsip agama serta kesediaan menahan hawa nafsu dan sifat mementingkan diri,” katanya.


Resisting the urge to travel during a global crisis and adopting a frugal lifestyle is also a noble sacrifice.--BERNAMApic

Mengulas pelaksanaan langkah berhemat oleh kerajaan MADANI termasuk BUDI95, Mohd Haeqal berkata sudah pasti dalam agama sikap berjimat cermat dan mengawal perbelanjaan secara bijaksana adalah sebahagian daripada bentuk pengorbanan dan juga tanda tanggungjawab seorang Islam khususnya, ketika berdepan keadaan ekonomi yang mencabar.

Beliau berkata Islam tidak mengajar umatnya hidup bermewah-mewahan tanpa batas atau berbelanja secara berlebihan. Sebaliknya kata beliau, agama sangat menekankan konsep kesederhanaan, keseimbangan dan pengurusan nikmat dengan penuh amanah. 

"Allah SWT berfirman dalam Surah al-Isra’ ayat 26–27: ‘Dan janganlah kamu membazir secara berlebih-lebihan. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu ialah saudara-saudara syaitan’. Ayat ini menunjukkan pembaziran bukan sekadar isu ekonomi tetapi juga isu akhlak dan spiritual,” katanya.

Beliau berkata dalam keadaan masyarakat berdepan tekanan kos sara hidup, amalan berjimat cermat menjadi satu bentuk ibadah apabila dilakukan dengan niat menjaga maslahat diri, keluarga dan masyarakat.

"Apabila seseorang mengurangkan perbelanjaan tidak perlu, mengawal penggunaan minyak, berjimat dalam utiliti atau menangguhkan kehendak tertentu demi keperluan yang lebih penting, itu juga satu bentuk pengorbanan.

“Lebih-lebih lagi apabila penjimatan itu membolehkan seseorang membantu keluarga, menyumbang kepada ibu bapa atau berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan," katanya.

Menurut Mohd Haeqal, Aidiladha juga mengajar pengorbanan tidak semestinya melakukan perkara besar atau yang luar biasa kerana, ada kalanya pengorbanan kecil yang konsisten seperti menahan kehendak diri, mengutamakan keperluan berbanding kemahuan dan hidup secara sederhana merupakan latihan jiwa yang sangat penting. 

 

ERTI PENGORBANAN

Sementara itu Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Dr Mohd Shahid Mohd Noh berkata ibadah korban bermaksud menyembelih binatang tertentu pada bulan Zulhijah kemudian diagihkan kepada golongan tertentu.


Dr Mohd Shahid Mohd Noh

Menurut beliau, ibadah korban juga merupakan satu bentuk sedekah yang bukan sahaja merupakan qurbah atau menghampirkan diri dengan Allah, tetapi sebagai manifestasi pengorbanan seseorang hamba itu di samping menjalinkan hubungan dengan manusia menerusi perkongsian rezeki.

"Rezeki adalah kurniaan Allah yang sewajarnya menjadi asbab penyatuan dan pertautan hati manusia, dan bukannya asbab untuk berpecah-belah atau berkrisis. Kisah Nabi Ibrahim dan anaknya (Nabi Ismail) juga cukup menjadi bukti betapa besarnya ketaatan yang perlu diberikan kepada arahan Allah, sekalipun mengorbankan nikmat atau harta yang berharga yang diamanahkan kepada manusia.

"Berkorban atau udhiyah adalah ibadah khusus.  Namun begitu, konsep pengorbanan berlaku setiap hari dalam hidup kita. Pengorbanan yang dimaksudkan ialah dalam mentaati perintah Allah sekali gus akan memberi kebaikan kepada manusia," katanya kepada Bernama.

Mengaitkan pengorbanan dengan krisis bekalan global yang sedang berlaku, beliau berkata menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan adalah satu bentuk pengorbanan.

"Hakikat ekonomi yang digagaskan Islam adalah berkongsi rezeki sebagaimana zakat dan wakaf, serta dengan amalan berkorban yang menjadi tradisi umat Islam setiap tahun. Kesemua ini menunjukkan bahawa harta itu perlu dikitarkan bukan dilonggokkan kepada golongan tertentu dan membiarkan yang lain merana," katanya.

Mohd Shahid berkata  berjimat cermat bukanlah amalan berwaktu sebaliknya merupakan amalan yang perlu dijadikan satu adat. 

"Apa yang berlaku sekarang membuka ruang untuk kita menzahirkan tanda syukur atas kurniaan, dan rasa amanah atas nikmat yang digalaskan ke atas kita.Setiap manusia memiliki keperluan, dan Islam mengiktiraf serta mengharuskan manusia untuk menikmati nikmat yang ada dalam kerangka sederhana atau wasatiyah. 

"Menghalang diri daripada melancong untuk berseronok semata-mata atau bermewah-mewahan, adalah satu keperluan bukan sahaja ketika krisis tetapi juga waktu biasa. Cuma, maksud kemewahan itu mungkin berbeza mengikut status ekonomi seseorang,” katanya.

 

 

 

 

 

x

HUBUNGI KAMI

Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia

+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my

Visitors 0

Ikut Kami