Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Selasa apabila pelabur melakukan penjualan bagi merealisasikan keuntungan daripada pegangan ekoran ketegangan Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang memuncak.
Pasaran akan ditutup esok bersempena dengan cuti umum Aidiladha.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.48 mata atau 0.56 peratus kepada 1,699.02 daripada 1,708.50 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.73 mata lebih rendah kepada 1,706.77 dan bergerak antara 1,696.14 hingga 1,707.52 sepanjang sesi dagangan hari ini.
Lingkungan pasaran adalah suram apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 695 berbanding 413, manakala 570 kaunter tidak berubah, 1,009 kaunter tidak diniagakan dan 67 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.24 bilion unit bernilai RM3.72 bilion daripada 3.06 bilion unit bernilai RM3.17 bilion pada Isnin.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi, IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata indeks penanda aras susut di bawah paras psikologi 1,700 mata hari ini apabila penghindaran risiko geopolitik meningkat susulan serangan baharu AS terhadap Iran.
Beliau berkata serangan baharu itu menjejaskan jangkaan awal mengenai kemungkinan pembukaan semula Selat Hormuz seterusnya mencetuskan semula kebimbangan terhadap keselamatan tenaga global.
“Susulan serangan itu, niaga hadapan minyak mentah Brent melonjak 3.9 peratus kepada US$99.89 setong.
“Ini sekali gus menambah kebimbangan bahawa harga minyak yang tinggi boleh merumitkan proses disinflasi global dan mengekalkan kadar faedah tinggi bagi tempoh lebih lama di ekonomi utama dunia,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek berkata walaupun pasaran keseluruhan hambar namun, Indeks Teknologi Bursa Malaysia terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan meningkat 0.9 peratus hari ini dan lebih 30 peratus bagi tahun ini setakat ini.
Prestasi itu seiring dengan kenaikan kukuh berterusan yang dicatatkan ekuiti berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor peringkat serantau dan global, katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank naik empat sen kepada RM4.80, IHH Healthcare menokok dua sen kepada RM8.98, Maybank susut 12 sen kepada RM10.94, Tenaga Nasional merosot 30 sen kepada RM14.16 dan CIMB turun lima sen kepada RM7.68.
Bagi saham aktif, Zetrix AI naik satu sen kepada 81.5 sen, Inari Amertron meningkat 24 sen kepada RM2.22, Oppstar menambah 3.5 sen kepada 67 sen, Skychip menguncup tiga sen kepada RM2.89 dan YTL Corp kurang lima sen kepada RM1.46.
Antara saham paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak RM1.14 kepada RM49.14, Allianz Malaysia meningkat 62 sen kepada RM21.42, Kuala Lumpur Kepong menambah 42 sen kepada RM20.34 dan Unisem menokok 25 sen kepada RM5.10.
Bagi saham paling rugi, Nestle merosot 82 sen kepada RM94.98, VSTECS susut 32 sen kepada RM5.79, Fraser & Neave turun 30 sen kepada RM28.50 dan Hong Leong Industries menguncup 26 sen kepada RM18.52.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 64.46 mata kepada 12,615.88, Indeks FBM Top 100 berkurangan 60.95 mata kepada 12,457.59, Indeks FBM Emas Syariah merosot 78.0 mata kepada 12,529.84, Indeks FBM Mid 70 menguncup 52.52 mata kepada 18,214.37 dan Indeks FBM ACE kurang 10.23 mata kepada 4,711.49.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.31 mata kepada 198.03, Indeks Tenaga meningkat 0.89 mata kepada 786.81, Indeks Perladangan bertambah 9.01 mata kepada 8,535.28, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 42.60 mata kepada 19,968.95.
Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.78 bilion unit bernilai RM3.41 bilion daripada 1.82 bilion unit bernilai RM2.89 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran melonjak kepada 981.14 juta unit bernilai RM133.62 juta daripada 600.76 juta unit bernilai RM66.21 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 471.50 juta unit bernilai RM167.37 juta berbanding 639.99 juta unit bernilai RM208.80 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 201.92 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (335.91 juta), pembinaan (115.86 juta), teknologi (472.06 juta), perkhidmatan kewangan (70.49 juta), hartanah (146.46 juta), perladangan (34.38 juta), amanah pelaburan hartanah (17.23 juta), dana tertutup (8,100), tenaga (118.87 juta), penjagaan kesihatan (109.93 juta), telekomunikasi dan media (56.03 juta), pengangkutan dan logistik (34.19 juta), utiliti (68.63 juta) dan amanah perniagaan (94,500).
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah