ALOR SETAR, 26 Mei (Bernama) -- Ketirisan minyak subsidi akibat kegiatan penyeludupan terus menjadi ancaman besar kepada kedudukan fiskal negara apabila kerajaan dianggarkan kerugian berbilion ringgit setiap tahun susulan penyelewengan diesel bersubsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat tempatan.
Felo Penyelidik Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Shazida Jan Mohd Khan berkata sebelum pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel, kerajaan mendedahkan kira-kira 6.5 juta liter diesel diseleweng setiap hari melibatkan sindiket penyeludupan dan pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata keadaan itu bukan sahaja menyebabkan subsidi kerajaan 'bocor' kepada pihak yang tidak layak malah memberi tekanan besar terhadap kewangan negara kerana kerajaan terpaksa menanggung kos subsidi yang semakin meningkat saban tahun.
"Subsidi yang sepatutnya membantu rakyat akhirnya turut dinikmati pihak tidak bertanggungjawab dan sindiket penyeludupan. Kesan paling besar ialah beban kewangan kerajaan meningkat, ruang untuk pembangunan negara menjadi lebih sempit dan akhirnya memberi tekanan kepada kos sara hidup rakyat," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata dana yang sepatutnya boleh disalurkan kepada pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan bantuan sosial terpaksa digunakan bagi menampung ketirisan subsidi, sekali gus mengehadkan keupayaan kerajaan memperkukuh ekonomi domestik dalam jangka panjang.
Dr Shazida Jan berkata ketidaktentuan ekonomi global ketika ini termasuk ketegangan geopolitik, turun naik harga minyak mentah dunia dan tekanan inflasi turut menyebabkan kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam menguruskan subsidi bahan api bagi memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan.
"Jika keadaan ekonomi tidak menentu berterusan, tidak mustahil kerajaan akan melakukan penyusunan semula subsidi secara lebih menyeluruh pada masa depan. Keadaan ini boleh terus memberi tekanan kepada kerajaan dan rakyat sekiranya langkah kawalan ketirisan tidak diperkukuhkan," katanya.
Beliau berkata sebarang perubahan dasar subsidi pada masa hadapan perlu dilaksanakan secara bersasar supaya golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak terkesan secara langsung dengan kenaikan kos kehidupan.
Katanya lagi, isu ketirisan subsidi dan keberkesanan mekanisme penyasaran dijangka menjadi antara elemen penting yang akan diberi perhatian dalam perancangan fiskal negara termasuk pembentangan Belanjawan 2027.
"Kerajaan perlu mencari keseimbangan antara menjaga kebajikan rakyat dan memastikan kedudukan kewangan negara kekal stabil. Dalam masa sama, penguatkuasaan terhadap kegiatan penyeludupan juga perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan ketirisan terus berleluasa," katanya.
Beliau berkata langkah rasionalisasi subsidi yang lebih tersusun mampu membantu kerajaan mengurangkan beban perbelanjaan tahunan selain memastikan bantuan benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran yang memerlukan.
-- BERNAMA
HUBUNGI KAMI
Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipengeludupan Migran (MAPO)
Kementerian Dalam Negeri
Aras 2, Blok D7, Kompleks D,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62546 Putrajaya
Malaysia
+603-8880 8854
+603-8880 8829
nsomapo[at]moha.gov.my
Kategori
• Mengenai MAPO
• Maklumat Penting
• Laporan Tahunan 2021-2022
• NAPTIP
• Direktori
• Berita
• Gambar
• Infografik
• e-Risalah